May 12, 2014

Sejambak bunga duka


Hasrat seorang suami membuat kejutan terhadap isterinya sempena sambutan Hari Ibu tidak kesampaian apabila wanita berkenaan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 154, Jalan Johor Bahru-Seremban di Labis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa, Ding Lay Huong, 36, yang memandu Toyota Vios mati di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala anak lelakinya berusia enam tahun cedera dan kini dirawat di sebuah pusat perubatan di daerah ini.

Menurut suami mangsa yang dikenali sebagai Lai, 44, berkata, kejadian berlaku ketika isteri bersama anak bongsu daripada dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bukit Siput dari Chaah sebelum Toyota Vios dinaiki bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier.

Katanya, jam 8 pagi kelmarin, isterinya meminta izin untuk ke Chaah bagi menghantar kuih pau diusahakannya kepada pelanggan bersama anak bongsu mereka.

“Bagaimanapun, selepas tengah hari, dia masih belum pulang menyebabkan saya risau dan menghubungi telefon bimbitnya, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Saya makin risau kemudian membuat keputusan untuk keluar mencarinya bersama anak sulung,” katanya.

Menurut Lai, ketika bersiap keluar mencari isteri, dia menerima panggilan rakan memaklumkan isterinya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Labis.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan polis memaklumkan isteri sudah mati manakala anak cedera.

Saya terkilan kerana kami sepatutnya meraikan Hari Ibu hari ini (semalam), malah saya bercadang membuat kejutan dengan memberi isteri sejambak bunga lepas makan malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kereta dipandu mangsa bertembung dengan Toyota Harrier dinaiki sepasang suami isteri berusia 60-an dari arah Labis.

“Pemandu dan penumpang Toyota Harrier yang juga pasangan suami isteri warga emas tidak cedera serius.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

myMetro 12 Mei 2014


Kereta bertembung, usahawanita maut

Kereta Toyota Vios yang dinaiki mangsa. Gambar kecil: Ding Lay Houng.

LABIS – Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan di Kilometer 154.3 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran Sungai Gatom, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Ding Lay Houng, 36, dari arah Labis dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Siput, Segamat selepas menyelesaikan urusan di Chaah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mangsa merupakan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini memandu kereta Toyota Vios itu bersama anak lelakinya yang berumur enam tahun.

“Sewaktu tiba di kawasan kejadian, kereta dipandu dipercayai mangsa hilang kawalan sebelum bertembung Toyota Harrier yang datang dari arah Segamat.

“Akibat perlanggaran tersebut, kereta dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala anaknya mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dan telah dibenarkan keluar,” katanya.

Bagaimanapun, penumpang dan pemandu kereta Toyota Harrier yang merupakan pasangan suami isteri berumur 63 dan 58 tahun yang  berasal dari Kluang itu mengalami kecederaan ringan dan dirujuk sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mangsa berasal dari Perak berpindah ke daerah ini pada tahun 1998.

Sinar Harian 12 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment