April 21, 2014

Tayar rosak bikin cemas

PESAWAT MAS MH192 laluan Kuala Lumpur-Banglore yang berada di landasan KLIA selepas membuat pendaratan cemas pada 1.56 pagi. FOTO Sairien Nafis

Sepang: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) bagi penerbangan MH192 yang kerosakan gear pendaratan berlegar di udara sekurang-kurangnya empat jam sebelum selamat mendarat semula di KLIA, pada 1.56 pagi tadi.

Biarpun mengakui mula panik apabila dimaklumkan anak kapal dan juruterbang pesawat berdepan masalah, penumpang gembira dan bersyukur selepas pesawat selamat mendarat.

Selepas dibenarkan keluar dari pesawat, semua penumpang ditempatkan di Bangunan Satelit sementara menanti urusan pendaftaran sebelum dihantar ke sebuah hotel berdekatan.

Namun, situasi kembali tenang selepas ditenteramkan anak kapal dan juruterbang sebelum pesawat berlegar lebih empat jam di udara sementara menanti arahan pendaratan kecemasan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata laporan awal mendapati insiden berkenaan berpunca daripada kerosakan tayar.

Katanya, perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan laporan siasatan yang diterima itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.

"Pada masa sama, kita tidak mahu mana-mana pihak buat spekulasi mengenai kejadian itu sebaliknya perlukan jawapan dan laporan awal.

"Saya mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa bangga terhadap juruterbang dan anak kapal kerana berjaya mengawal keadaan," katanya pada sidang media, di KLIA, awal pagi tadi.

Terdahulu, MAS dalam kenyataannya, MH192 yang dalam penerbangan dari KLIA ke Bangalore, terpaksa berpatah balik berikutan masalah berkenaan.

myMetro 21 Apr 2014


Bunyi letupan ketika pesawat berlepas

Kuala Lumpur: “Saya terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian bawah pesawat ketika sedang berlepas dari landasan. Ketika itu pesawat bergegar dan kami mula dihantui kebimbangan,” kata Bruno Richard Leo, 27, seorang penumpang penerbangan pesawat MH192 yang terpaksa berpatah balik akibat mengalami masalah teknikal ketika dalam perjalanan ke Bangalore, India.

Menurutnya, pesawat dinaikinya bersama tiga rakan lain dari Sydney, Australia itu berhenti seketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9 malam sebelum menyambung perjalanan ke India.

“Walaupun terdengar bunyi letupan, namun pesawat itu tetap berjaya terbang ke udara. Juruterbang kemudian memaklumkan pesawat itu mengalami masalah teknikal dan perlu berpatah balik ke KLIA.

“Setiap pengumuman yang dibuat juruterbang dan pembantunya sangat mendebarkan dan setiap kali itulah kami berharap ia berita baik,” katanya.

Beliau berkata, dia dan penumpang lain hanya mampu berdoa walaupun ketika itu pelbagai bayangan buruk bermain di kepala.

myMetro 22 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment