April 19, 2014

Menggelupur disimbah asid

Foto - Kosmo

Penampang: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas dipercayai disimbah asid oleh seorang lelaki bertopeng di sebuah restoran di Towering, Jalan Penampang, di sini, kira-kira 4.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa bersama dua rakannya sedang memesan makanan di sebuah restoran apabila tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topeng terus menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa.

Mangsa yang menggelupur kesakitan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh dua rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan pada 11.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

myMetro 19 Apr 2014


Remaja perempuan meninggal dunia disimbah asid di Penampang

KOTA KINABALU - Seorang remaja perempuan meninggal dunia selepas disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis makanan berhampiran Towering, Jalan Penampang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, mangsa yang dikenali sebagai Memey Kandusan, 19, meninggal dunia pukul 11.20 pagi ini selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Queen Elizabeth.

"Difahamkan mangsa sedang bersarapan di kedai berkenaan bersama dua rakannya sebelum didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali pada kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Suspek yang memakai topi itu dikatakan bertindak melempar sejenis cecair dipercayai asid ke bahagian muka mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, tiada tangkapan dilakukan dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Tambahnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. - Bernama

19 Apr 2014


Angkara cemburu disimbah asid

KOTA KINABALU – Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan kejam seorang gadis yang maut selepas disimbah asid oleh seorang lelaki di sebuah restoran di Penampang dekat sini kelmarin adalah bermotifkan cemburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kemungkinan itu adalah berdasarkan siasatan awal pasukannya termasuk keterangan yang diperoleh daripada beberapa saksi kejadian.

Kosmo 21 Apr 2014


Suspek bawa cecair lebih satu liter

Penampang: Lelaki yang menyimbah asid terhadap gadis berusia 19 tahun hingga mangsa maut di sini, awal pagi kelmarin, dipercayai membawa bahan kimia itu dalam kuantiti banyak yang disimpan dalam bekas makanan.

Menurut pekerja restoran yang mahu dikenali sebagai Siddiq, 35, berkata, sebaik menyimbah asid terhadap mangsa yang ketika itu bersama dua rakan, lelaki berkenaan melarikan diri ke arah jalan besar.

“Jumlah cecair itu dianggarkan lebih satu liter berdasarkan bekas plastik ditinggalkannya selain tahap kecederaan mangsa dan rakannya.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan saya menyedari kejadian ini apabila mangsa menjerit selepas disimbah sejenis cecair,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siddiq berkata, pada mulanya mangsa menyangka disimbah air dan hanya mengelap muka dan mengesat bajunya yang basah.

“Tiba-tiba mangsa menjerit menyatakan matanya pedih sebelum mengerang kesakitan manakala rakannya turut mengalami kepanasan akibat terkena asid.

“Mangsa rebah dan menggelupur sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Katanya, mangsa dan rakannya tidak pernah dilihat mengunjungi restoran berkenaan sebelum ini.

“Simbahan asid itu menyebabkan restoran kami ditutup hari ini (semalam) bagi dibersihkan kerana ada bau tengik yang menusuk hidung menyebabkan menyebabkan pelanggan enggan memasuki restoran,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, pekerja kafe siber, Memey Kandusan, 19, disahkan maut selepas bertarung nyawa lebih enam jam di hospital akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) dilaporkan meninggal jam 11.20 pagi akibat parah di dada, bahu, mata dan muka.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan, lelaki dan perempuan mahu memesan makanan di restoran terbabit apabila seorang lelaki bertopi datang menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya masih melakukan siasatan dan menjejaki suspek.

“Polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

myMetro 21 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment