April 21, 2014

Majlis hari lahir jadi pesta liar


Sekumpulan 88 individu, sebahagian besarnya remaja termasuk 15 orang yang masih bersekolah ditahan selepas didapati mengadakan pesta dadah dan arak di sebuah banglo yang dijadikan inap desa di Jalan Masjid Negeri, di sini, awal pagi, semalam.

Difahamkan, kumpulan individu terbabit ke banglo berkenaan pada mulanya untuk mengadakan sambutan hari jadi seorang rakan mereka, namun bertukar pesta liar apabila kebanyakan mereka mula menghisap syabu, ganja dan meneguk arak.

Suasana mula menjadi tidak terkawal apabila mereka berada dalam keadaan khayal dan memasang muzik dengan kuat hingga menimbulkan curiga kepada penduduk setempat sebelum polis menyerbu kira-kira jam 2.45 pagi.

Dalam serbuan itu, beberapa lelaki yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas banglo berkenaan dikepung.

Banglo itu sebelum ini disewa untuk majlis perkahwinan sebelum seorang lelaki yang juga ahli perniagaan berusia 27 tahun menyewa kononnya untuk sambutan hari jadi rakannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, dalam serbuan itu polis turut menemui plastik disyaki peket dadah dan botol minuman keras di dalam premis berkenaan.

“Semua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan hasil ujian air kencing mendapati 60 daripada mereka yang terdiri daripada 35 lelaki dan 25 wanita positif dadah.

“Semua ditahan berusia 16 hingga 35 tahun dan 15 daripada mereka masih di bawah umur dan bersekolah,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati mereka datang dari pelbagai negeri sebelum berkumpul di banglo terbabit.

Katanya, hasil keterangan awal daripada lelaki yang menyewa banglo berkenaan mendakwa hanya menjemput 50 rakan untuk meraikan sambutan hari jadi di premis itu.

“Lelaki terbabit juga mendakwa tidak mengetahui sambutan hari jadi itu akan bertukar menjadi pesta dadah serta arak dan turut mendakwa tidak dapat mengawal kelakuan semua pengunjung kerana jumlahnya terlalu ramai.

“Bagaimanapun, kami sedang menjalankan siasatan lanjut.

Untuk pesalah juvana, kami akan memanggil ibu bapa mereka selain turut memberi kaunseling sekiranya perlu,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya akan sentiasa memantau pesta liar seumpama itu dan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang cuba atau mahu menganjurkan pesta liar sebegitu supaya tidak berbuat demikian.

“Dalam kes ini, semua mereka yang didapati positif dadah akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

myMetro 21 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment