April 22, 2014

Lelaki rebah di parkir pasar raya

Polis memeriksa mayat mangsa sebelum di hantar ke bilik mayat.

KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 54 tahun untuk membeli-belah di sebuah pasar raya, di sini, tidak kesampaian apabila mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang di parkir tingkat bawah pasar raya itu kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, dari siasatan awal dijalankan, mangsa yang tinggal di Taman Camar masih bujang dan pergi ke pasar raya terbabit untuk membeli barangan keperluan harian.

"Selepas mematikan enjin motosikal, mangsa dilihat berdiri untuk beberapa ketika sebelum rebah.

"Orang ramai yang berada di tempat kejadian kemudiannya menghubungi ambulans bagi memastikan mangsa menerima rawatan kecemasan," katanya.

Katanya, kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Kulim dengan kenderaan polis untuk dibedah siasat.

"Memandangkan tidak ada sebarang kesan perlakuan jenayah terhadap tubuh badan serta fizikal mangsa, kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut," katanya.

Sinar Harian 22 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment