April 25, 2014

Kendong anak redah asap tebal

Kebakaran awal pagi semalam memusnahkan deretan kedai empat pintu menyebabkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

NIBONG STESEN (DUNGUN) – “Ketika sedang nyenyak tidur, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat, apabila tersedar, api sudah menyelar tingkap rumah. Tanpa berfikir panjang saya terus kejutkan suami dan anak-anak sebelum kendong anak bongsu keluar dari rumah yang sudah dipenuhi asap tebal untuk menyelamatkan diri.”

Demikian cerita Chang A Bui, 40, salah seorang mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang selepas deretan rumah kedai empat pintu musnah dalam kebakaran, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, empat rumah kedai musnah selepas api yang dipercayai berpunca dari salah sebuah rumah marak dengan cepat menyebabkan semua penghuni gagal menyelamatkan harta benda mereka.

Hilang sumber pendapatan

Chang berkata, dia bernasib baik kerana tersedar daripada tidur kerana jika tidak, kemungkinan dia dan suami termasuk tiga anaknya berusia antara 5 hingga 12 tahun akan terperangkap dan rentung dalam kebakaran.

Menurutnya, tragedi itu menyebabkan dia hilang tempat berlindung, selain meninggalkan trauma kepada tiga anaknya, Chee Eng Foong,11, Chee Lee Chi, 6, dan Chee Eng Chao, 5.

Lebih menyedihkan, Chang baru sahaja memasukkan stok barangan kedai dan kebakaran awal pagi itu menyebabkan suaminya, Chee Boon Jeng, 50, yang mengusahakan perniagaan menjual bateri dan minyak pelincir hilang sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Kami baru sahaja dapat untung selepas bayar hutang stok barangan. Tapi sekarang semuanya musnah, kami tak tahu macam mana nak mulakan semula perniagaan lepas semuanya jadi abu,” katanya.

Duit RM8,000 hangus

Seorang lagi mangsa, Raja Kamariah Wan Yusuf, 55, berkata, fikirannya buntu apabila wang tunai RM8,000 yang disimpan dalam beg tangan hasil kutipan duit kutu gagal diselamatkan.

Katanya, dia menyedari rumahnya terbakar selepas terhidu asap sebelum melihat api marak melalui siling dan dinding rumah.

"Saya tidur di bilik hadapan, lepas nampak api saya terus kejutkan anak lelaki (Mohd Rosli Stopa, 25) yang tidur di bilik belakang untuk keluar selamatkan diri," katanya.

Menurutnya, walaupun menyedari duitnya tertinggal, dia tidak sempat berpatah balik kerana api sudah marak sebelum menyaksikan struktur kedai makannya  menyembah bumi satu persatu.

“Saya hilang mata pencarian, duit, pakaian, semuanya jadi abu. Buat masa ini saya sangat berharap ada pihak sudi bantu, sekurang-kurangnya ringan sikit beban saya," katanya yang sudah berniaga di situ sejak lebih empat tahun lalu.

Bagaimanapun kedukaan mangsa kebakaran sedikit terubat apabila Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik meluangkan masa menziarahi mereka selain menyampaikan sedikit sumbangan.

30 minit padam api

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Nor Azizi  Che Noh berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan api dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran serta nilai kerugian.

Sinar Harian 25 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment