April 1, 2014

Biadab dengan keluarga

KUALA TERENGGANU - Padah bersikap biadab dengan ahli keluarga, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara 13 bulan selepas mengaku salah merosakkan tayar kereta milik bapa saudaranya dan mengugut adiknya menggunakan parang, kira-kira setahun lalu.

Mohamad Nor Yanto, 34, dari Kampung Sungai Rengas, di sini, dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah majistret semalam, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mohamad Nor mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya, Mohd Syawal Yanto, 30, menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Rengas Utama, di sini, jam 6.30 petang, 16 Mac 2013.

Bagi kesalahan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi Mohamad Nor dalam keadaan meracau.

Semasa kejadian itu, Mohamad Nor turut membawa sebilah parang sambil mengugut dan mangsa yang bimbang akan keselamatannya terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Selain itu, Mohamad Nor yang turut mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Dia mengaku salah melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan dua biji tayar kereta jenis Perodua Viva membabitkan kerugian sebanyak RM360 di sebuah rumah di Kampung Sungai Rengas, di sini, jam 1.15 pagi, 6 Februari 2013.

Rozianti memerintahkan agar kesemua hukuman penjara tersebut berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala Mohamad Nor tidak diwakili peguam.

Sinar Harian 1 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment