April 22, 2014

Bergelut dengan penjenayah

PUCHONG – Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng cedera di tangan dan kaki selepas bergelut dengan seorang lelaki yang cuba memecah masuk rumah jirannya, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu pada awalnya disedari seorang pemilik rumah yang kemudian menghubungi Chee Heng memaklumkan mengenai tindak tanduk mencurigakan lelaki berkenaan.

Suspek dikatakan cuba memecah masuk sebuah rumah namun usahanya gagal sebelum beralih ke sebuah lagi unit rumah teres di Puchong Utama.

Bertindak atas aduan, Chee Heng bergegas ke rumah jirannya dan mengintip gerak geri suspek dari jauh.

Sebaik menyedari kehadirannya, lelaki terbabit terus bersembunyi di sebalik lori yang terletak di garaj rumah tersebut.

Lelaki itu kemudiannya melemparkan kata-kata kesat terhadap Chee Heng sebelum keluar melalui pintu pagar dan mendakwa itu adalah rumahnya.

“Saya kenal pemilik sebenar rumah itu. Saya pun sudah menghubunginya. Mereka sekeluarga berada di Ipoh dan meninggalkan rumah tanpa penghuni. Jawapan suspek membuatkan saya geram dan cuba memberkasnya.

“Suspek tiba-tiba terus tolak dan hentak kepala saya dengan tong sampah yang diambil dari rumah sebelah. Kerana tak sempat elak, saya terjatuh ke dalam parit. Saya cuba bangun tapi dia baling batu pula ke arah saya," katanya.

Beliau bergelut dengan penjenayah bertubuh kecil itu selama hampir lima minit sebelum seorang lelaki datang memberi bantuan.

Penjenayah terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, dia baru berpindah ke taman perumahan berhampiran dan cuba melakukan membuat onar terhadap jiran sendiri namun dua kali cubaannya gagal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

Sinar Harian 22 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment