March 8, 2014

Kekasih mati bersama

KEADAAN kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa.

Shah Alam: Impian sepasang kekasih untuk mendirikan rumah tangga tidak menjadi kenyataan apabila mereka terbunuh akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 15.6 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, B Suresh, 21, bersama teman wanitanya, M Logeswary, 20, dijadual melangsungkan perkahwinan pertengahan Mac ini, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Menurut sumber, Suresh yang memandu kereta, dalam perjalanan menghantar teman wanitanya pulang dan setiba di lokasi kejadian, dia gagal mengawal kereta lalu terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali.

Selepas terbabas, katanya kereta itu merempuh pembahagi jalan menyebabkan ia melambung dan berpusing beberapa kali.

“Polis polis menyiasat punca kejadian dan meminta saksi menghubungi Cawangan Trafik Shah Alam bagi membantu siasatan.

“Kami juga sudah mengambil darah pemandu untuk diuji bagi memastikan dia bebas pengaruh dadah dan alkohol ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, polis sudah membawa kenderaan mangsa untuk pemeriksaan, termasuk ujian Jabatan Kimia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

myMetro 8 Mac 2014



0 comments:

Post a Comment