February 27, 2014

Jumpa mayat ‘dikafankan’ tepi jalan

Orang awam menemui mayat lelaki warga asing dibungkus seperti dikafan di tepi Jalan Perusahaan 2 Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam.

Bukit Mertajam: Mayat seorang lelaki yang dibungkus seperti dikafankan ditemui di tepi Jalan Perusahaan 2 Bukit Minyak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mayat dipercayai warga asing itu ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan dengan seluruh badan dibungkus cadar bercorak bunga warna ungu cair.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata keadaan mayat itu seperti sudah dikafankan kerana ia ditemui dibungkus cadar dengan bahagian kepala dan kaki diikat.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan mati di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ.

“Mayat itu ditemui dalam keadaan sempurna, tidak berpakaian dan mulut berbuih. Polis percaya lelaki itu baru saja meninggal dunia,” katanya di sini, semalam.

Tiada dokumen diri

Azman berkata, pihaknya tidak menemui sebarang dokumen diri pada mayat berkenaan dan ia sudah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), Butterworth, untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mayat itu.

“Kami percaya tiada unsur jenayah dalam kes ini dan ia kini disiasat sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Berita Harian 27 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment