February 27, 2014

Empat pelajar KTAR terbunuh kereta bertembung lori




Keadaan kereta Perodua Viva dan lori selepas bertembung dalam kemalangan yang mengorbankan empat pelajar KTAR di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

KAMPAR 27 Feb. - Empat pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) Kampar di sini terbunuh apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa tar di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, Thomas Loh Tet yang merupakan pemandu kereta dan tiga rakan wanitanya, Koh Suet Mun dari Lahat, Wong Pei Pei dari Lumut dan Ling Yok Sue dari Batu Gajah, meninggal dunia serta-merta.

Kesemua mangsa yang berusia 20 tahun merupakan pelajar pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di KTAR.

Difahamkan, kejadian kira-kira 500 meter dari persimpangan Gua Tempurung itu berlaku ketika kesemua pelajar berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kampar untuk ke kolej mereka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Viva itu gagal memotong sebuah kenderaan lain di selekoh tempat kejadian dan bertembung dengan lori berkenaan.

"Akibat pertembungan itu, Perodua Viva berkenaan diseret sehingga ke laluan bersebelahan menyebabkan kenderaan tersebut remuk teruk dan kesemua mangsa di dalamnya tersepit serta meninggal dunia.

"Pihak bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kong Soon, pemandu lori terlibat, Balvinder Singh Indar, 32, yang tidak cedera ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar beliau, semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 28 kesalahan lalu lintas dan mempunyai satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik kerana gagal mempamerkan cukai jalan.

"Pemandu lori berkenaan ditahan sehingga siasatan selesai sebelum diserahkan kepada pihak IPD Gerik," ujarnya.

Tambah Kong Soon, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Utusan 27 Feb 2014


Pilu lihat anak maut kemalangan

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Viva yang remuk dalam kemalangan maut mengorbankan empat pelajar.

KAMPAR - Hati bapa mana yang tidak luluh saat melihat anak perempuannya tersepit dan tidak bernyawa dalam sebuah kenderaan selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, kira-kira 500 meter dari Gua Tempurung dekat sini pukul 5 pagi semalam.

Lebih tragis, dia yang mahu dikenali sebagai Koh, 54, turut menyaksikan detik-detik memilukan ketika mayat anaknya, Koh Suet Man, 20, bersama tiga lagi mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gopeng dan Kampar.

Koh yang tinggal di Lahat dekat sini berkata, dia menerima panggilan daripada seorang rakan anaknya yang memberitahu sesuatu telah berlaku kepada anaknya dan memintanya pergi ke tempat kejadian tanpa memberitahu hal sebenar.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat pihak bomba sedang berusaha mengeluarkan semua mangsa termasuk anak saya," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kampar di sini semalam.

Kosmo 28 Feb 2014


Kaku dalam kereta berkecai

Kampar: “Semuanya seperti mimpi ngeri. Saya hanya mampu melihat tubuh anak gadis saya berlumuran darah dan ditarik keluar anggota bomba dari bangkai kereta yang berkecai,” kata Kuh Sum Keong, 54, yang terkejut dengan kematian anaknya, Koh Suet Mun, 20, bersama tiga rakan lain dalam kemalangan selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gua Tempurung, Gopeng, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, semalam, kereta model PERODUA Viva dinaiki empat penuntut Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR) dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke pekan Kampar sebelum bertembung dengan lori yang membawa muatan tar dari arah bertentangan.

Nahas itu menyebabkan semua mangsa termasuk Wong Pei Pei, 20, Ling Yok Sue, 20, serta pemandu kereta, Thomas Loh Tet, 20, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Sum Keong yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kampar berkata, dia hanya dimaklumkan berhubung kemalangan itu oleh seorang rakan anaknya.

Menurutnya, penuntut terbabit bagaimanapun tidak memberitahu sama ada anaknya mengalami kemalangan serius atau sebaliknya apabila diajukan soalan.

myMetro 28 Feb 2014


Pemandu lori ada 28 kes

Kampar: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan empat penuntut Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR) maut di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gua Tempurung, Gopeng, di sini, kini ditahan polis untuk membantu siasatan.

Pemandu lori berusia 42 tahun berasal dari Chenderiang, di sini, ditahan berikutan pemeriksaan awal mendapati dia mempunyai 28 kesalahan lalu lintas selain dikehendaki polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik atas kesalahan tidak mempamerkan cukai jalan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu lori itu ditahan untuk siasatan kes kemalangan maut itu sebelum diserahkan kepada IPD Gerik untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dalam kemalangan jam 5 pagi, semalam, sebuah kereta model PERODUA Viva dipercayai dari arah Ipoh menghala ke Kampar bertembung dengan lori terbabit yang sarat membawa muatan tar.

“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki penuntut KTAR itu dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Impak rempuhan yang kuat menyebabkan kereta dinaiki mangsa terseret kira-kira 30 meter ke bahu jalan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta, Thomas Loh Tet, 20, bersama tiga rakan wanitanya, Koh Suet Mun, 20, Wong Pei Pei, 20, dan Ling Yok Sue, 20, maut di lokasi kejadian.

Kong Soon berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta dan penumpang kenderaan tidak mabuk ketika kejadian.

“Kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan dengan cara melulu,” katanya.

myMetro 28 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment