February 1, 2014

Datuk kayuh basikal 296km

Wan Hashim (kanan) yang berbasikal secara solo tiba di Dungun petang kelmarin sambil diiringi ahli Dungun Mountain Bike Team dan kelab BMX Dungun.

DUNGUN – Usia bukan halangan buat seorang datuk kepada 18 cucu menunaikan hasrat untuk berbasikal menjelajah negara bagi melengkapkan diari hidupnya setelah terfikir untuk berbuat demikian 40 tahun lalu.

Pengalaman berharga itu dikongsi Wan Hashim Wan Mahmood, 68, yang berbasikal secara solo  menjelajah seluruh semenanjung.

Wan Hashim berkata, dia memulakan aktiviti sihat itu pada 26 Januari lalu di Telipot Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, setelah hampir tiga hari berbasikal, dia berjaya menamatkan perjalanan sejauh 296 kilometer sebelum tiba di Dungun, 29 Januari lalu.

Katanya, antara cabaran paling getir sepanjang perjalanannya adalah terpaksa berhadapan risiko keselamatan berikutan sebahagian besar jalan raya tidak mempunyai laluan khas untuk penunggang basikal dan motosikal.

“Apabila melalui jalan raya yang sempit yang tidak mempunyai lorong motosikal, saya terpaksa lebih berhati-hati terutama jika ada kenderaan berat berselisih.

“Keadaan ini agak menyukarkan saya terutama jika kayuhan dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana tercetusnya ilham untuk berbasikal secara solo menjelajah seluruh semenanjung, Wan Hashim berkata, dia pernah melakukan aktiviti sama pada 1963.

Ketika itu katanya, dia berbasikal bersama dua rakan sehingga ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru, namun tidak meliputi seluruh semenanjung atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan.

“Insya-Allah, saya cuba tamatkan kayuhan dalam masa dirancangkan. Saya berdoa agar diberi kesihatan yang sempurna supaya hasrat ini menjadi kenyataan,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment