February 4, 2014

2 maut 2 parah nahas di Beluran

BELURAN 3 Feb. - Dua maut dan dua lagi parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Km45 Jalan Beluran-Telupid semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, DSP Shivanathan Velautham berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta Abdil Muhammad, 29, dan penumpang hadapan Mohd. Farid Mohd. Inal, 23.

Mereka yang cedera dikenali sebagai Rosmah Rosli, 27, dan Siti Atikah Arsyid, 21.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam apabila kereta itu yang datang dari arah Telupid menuju Sandakan didapati memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tersebut.

Anggota bomba dan penyelamat turut dihubungi bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk, katanya.

Sivanathan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat manakala dua wanita berkenaan dihantar bagi menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pemandu lori itu tampil membuat laporan di Balai Polis Beluran dan ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

3 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment