January 3, 2014

Budak mati ditinggal 9 jam dalam kereta

Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) bapanya di Indera Mahkota, dekat sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Ariff Mohd Yusof ditemui bapanya di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 5 petang.

Bapa mangsa berusia 41 tahun dikatakan terlupa untuk menghantar Muhammad Ariff yang sepatutnya memasuki taska di Indera Mahkota.

Menurut sumber, pasangan terbabit dipercayai keluar dari kuarters guru di Pandan, dekat sini kira-kira jam 7.30 pagi untuk menghantar lima anak mereka, termasuk mangsa ke sekolah dan taska.

“Selepas menghantar anaknya, bapa mangsa pergi minum di sebuah kedai di Taman Tas. Isteri lelaki terbabit menghubunginya pada waktu tengah hari sebelum mereka pergi mengambil dua anaknya di sekolah rendah di Indera Mahkota,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Lupa hantar anak ke taska 

Pasangan suami isteri terbabit dikatakan berada di sekolah itu sehingga jam 5 petang bagi menunggu dua anaknya selesai Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sebaik mereka pergi semula ke kenderaan untuk pulang ke rumah, bapa terbabit baru menyedari dia terlupa menghantar Muhammad Ariff ke taska sebelum melihat mangsa berada di kerusi belakang kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasangan terbabit kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

Berita Harian 3 Jan 2014


Bapa tak sedar anak dalam kereta

Kuantan: “Kami terlupa, minta maaf.” Demikian kata seorang wanita berusia 39 tahun selepas anaknya yang berusia tiga tahun, Muhammad Arif Mohd Yusof ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang, semalam, selepas ditinggalkan dalam kenderaan selama kira-kira sembilan jam.

Bagaimanapun, keluarga mangsa yang ditemui di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, petang semalam, enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkannya untuk siasatan polis.

Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku apabila bapa mangsa yang berusia 41 tahun terlupa untuk menghantar anak bongsunya itu ke sebuah taska di Indera Mahkota, di sini, sebelum menyedari mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaannya kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit keluar dari rumah mereka di Kampung Pandan 2, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam, bersama lima anak mereka untuk dihantar ke sekolah.

Katanya, bapa mangsa kemudian menghantar dua anak bersama isterinya yang bekerja sebagai pembantu tadbir ke sebuah sekolah menengah di Pandan, di sini.

myMetro 3 Jan 2014


Mati dipercayai lemas, lapar dalam kereta

Kuantan: Kanak-kanak berusia tiga tahun yang meninggal dunia selepas hampir sembilan jam ditinggalkan dalam kereta bapanya di Indera Mahkota, kelmarin, dipercayai mati akibat lemas dan kelaparan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata doktor sudah membuat bedah siasat terhadap mangsa, Muhammad Arif Mohd Yusof, namun punca sebenar kematian belum dapat disahkan.

Organ mangsa dianalisis 

“Organ mangsa akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis berikutan doktor yang melakukan bedah siasat tidak dapat mengesahkan sebab kematian.

“Namun berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan kematian akibat kelemasan atau kelaparan melampau dialami mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selain itu, Mohd Jasmani berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kita sudah mengambil keterangan ibu bapa mangsa dan setakat ini siasatan masih diteruskan. Buat masa sekarang juga kita belum lihat keperluan sama ada untuk menahan bapa mangsa atas sebab kecuaian.

“Biar siasatan diselesaikan dahulu dan pada masa sama saya nasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka dengan keadaan anak,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa untuk dikebumikan di kampung bapanya di Besut, Terengganu, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhammad Arif dipercayai lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan kereta Toyota Avanza dipandu bapanya. Mangsa dikatakan tertidur di tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Bapa mangsa berusia 41 tahun dikatakan terlupa untuk menghantar mangsa yang sepatutnya memasuki taska di Indera Mahkota.

Berita Harian 4 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment