December 22, 2013

Pekerja balak mati dibaham buaya 'Bujang Pantu'

SRI AMAN 21 Dis. - Misteri kehilangan seorang pekerja balak selepas keluar mandi di Sungai Enciap, Pandu dekat sini semalam, terjawab apabila mayatnya ditemui dengan tangan terputus oleh penduduk kampung dipercayai dibaham seekor buaya.

Mayat Aladin Shebli, 56, berasal dari Lingga, ditemui pukul 8.25 malam tadi iaitu hanya kira-kira lima meter dari tempat buaya dikenali sebagai 'Bujang Pantu' dilihat muncul sebelum itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohammad berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan mandi seorang diri di sungai tersebut dan dilaporkan tidak pulang selepas itu.

Menurut beliau, isteri mangsa yang risau suaminya tidak pulang segera mencarinya di sekitar kawasan tebing sungai tersebut namun gagal menemui lelaki berkenaan.

"Setelah gagal mencari suaminya, isteri mangsa bergegas pulang ke rumah pekerja kem pembalakan di situ dan memaklumkan kehilangannya.

"Pekerja kem segera menjalankan gerakan mencari mangsa tetapi turut gagal lalu sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mat Jusoh berkata, polis telah telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum dihentikan selepas mayatnya ditemui oleh penduduk kampung.

Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan, tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian mangsa.

"Mayat mangsa ditemui terapung berdekatan tebing sungai dan tangan kirinya didapati putus dipercayai akibat gigitan buaya," katanya.

Ujar Mat Jusoh, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Utusan 21 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment