December 4, 2013

Lima beranak terlibat kes ragut

KUALA LUMPUR - Polis berjaya memberkas sepasang suami isteri warga tempatan bersama tiga anak mereka yang dipercayai giat melakukan jenayah ragut di karnival Jom Heboh sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, lima sekeluarga itu ditahan di hadapan sebuah  hotel di Bukit Bintang kira-kira  jam 7 malam, Ahad lalu.

“Kita temui semula pelbagai barang kemas milik mangsa antaranya, 12 rantai emas, enam loket, tiga gelang emas dan sepasang anting-anting, termasuk wang tunai berjumlah RM 4,640,”

“Barang kemas diragut itu dipercayai dijual di kedai pajak gadai, susulan penemuan beberapa resit pajak gadai,” katanya.

Beliau berkata jenayah terancang tersebut diketuai ketua keluarga itu berusia 52 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau berhubung kes ragut dan isterinya berusia 41 tahun juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Pasangan suami isteri berkenaan dipercayai meminta tiga anaknya berusia antara 13 hingga 17 tahun untuk melakukan jenayah.

“Mereka akan mendekati kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk meragut barang kemas dengan menggunakan gunting. Mereka biasanya menyasarkan kanak-kanak didukung ibu bapa yang leka membeli-belah atau menonton konsert,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Mohan berkata, keluarga berasal dari Sabah itu akan menginap di hotel di kawasan berdekatan tapak karnival, sebelum melakukan jenayah.

“Kita terima dua laporan kes ragut membabitkan keluarga tersebut, kita juga percaya dapat selesaikan 31 kes ragut di karnival Jom Heboh,” katanya.

Suspek direman sehingga 6 Disember. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 , 392 dan 411 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, mangsa yang kehilangan barang kemas semasa karnival berkenaan boleh hubungi Asisten Superitenden  Ong Seng Keong di 019-3727888 untuk membantu siasatan dan kenal pasti barang kemas tersebut.

Sinar Harian 4 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment