October 29, 2013

Jerut kawan enggan beli beras


Lahad Datu: Hanya disebabkan enggan membeli beras, seorang lelaki warga asing maut dipercayai dibunuh rakan serumahnya selepas berlaku salah faham dalam kejadian di sebuah rumah di ladang sawit, dekat Felda Sahabat 30, di sini, kelmarin.

Mayat Thomas Dominikus, 47, dari Timor, ditemui jam 9 pagi dalam keadaan terikat dengan kesan jerutan di leher, dipercayai baru meninggal dunia oleh seorang lelaki yang menghantar barang ke rumahnya.

Difahamkan, lelaki itu yang menghantar barang pelik apabila melihat rumah mangsa sunyi sebelum meninjau di dalam rumah.

Saksi terkejut melihat mangsa terikat selain wayar elektrik masih terjerut pada lehernya.

Susulan kejadian itu, lelaki berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek yang juga rakan serumah mangsa berusia 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu bergegas ke tempat kejadian.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga rakan serumah mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai bertengkar disebabkan rumah didiami mereka kehabisan beras.

“Pertengkaran mulut ini berakhir dengan kematian apabila suspek dipercayai menjerut leher mangsa sehingga mati.

“Suspek dikatakan membelasah mangsa sebelum menjerut leher lelaki terbabit lalu mengikat mangsa dengan wayar elektrik,” katanya.

myMetro 29 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment