September 16, 2013

Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MAKKAH - Seorang jemaah haji Malaysia, Daud Kasim, 64, meninggal dunia akibat masalah jantung di Madinah pagi semalam.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata jenazah Daud diurus oleh Tabung Haji (TH) dan dikebumikan di tanah perkuburan Baqi di Madinah selepas solat Asar semalam.

Katanya, Allahyarham Daud meninggal dunia pada pukul 9 pagi waktu tempatan semalam di Klinik Zon 1, Hotel Al Haram, Madinah.

Allahyarham adalah jemaah haji di bawah tajaan 1Malaysia Development Berhad dan berasal dari Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor.

TH akan melaksanakan badal haji untuk Allahyarham tanpa sebarang bayaran. - Bernama

16 Sep 2013


Sempurna hasrat arwah suami

Kota Tinggi: “Saya bersyukur dengan kesudian Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menawarkan kuota untuk saya dan anak lelaki mengerjakan haji memebolehkan meneruskan hasrat arwah suami yang tidak kesampaian,” kata Saniah Sanusi, 56, balu kepada jemaah negara pertama yang meninggal di Madinah tahun ini, Daud Kamsani, 64.

Saniah berkata, dia akan ke Makkah dengan anak lelakinya, Mohamad Hanafe Daud, 31.

“Walaupun kami sekeluarga masih bersedih dengan kematian arwah di Madinah minggu lalu, saya bersyukur kerana dapat menunaikan haji serta menyempurnakan hasrat suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Easter, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad Hanafe berkata, bapanya bercita-cita ke Makkah dan begitu teruja selepas mendapat tawaran daripada 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Bagaimanapun, Allah lebih menyayanginya dan arwah meninggal dunia akibat sakit jantung, 15 September lalu.

“Jadi, peluang diberi Tabung Haji ini amat bermakna dan kami akan manfaatkan dengan sebaiknya untuk beribadah selain mengunjungi pusara bapa di tanah perkuburan Baqi, Madinah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tawaran itu sebagai usaha memperingati nasib waris arwah. “Kami bersimpati dengan nasib keluarga arwah dan mengambil kesempatan ini menghadiahkan kuota kepada balu dan anak lelakinya.

“Selepas 100 hari, mereka boleh hadir ke pejabat Tabung Haji berhampiran dan mendaftar sebagai jemaah haji.

“Harapan saya supaya berita ini dapat memberi sinar dan kegembiraan kepada mereka sekeluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez berkata seorang lagi jemaah haji meninggal dunia di Makkah, kelmarin.

“Pegawai serta kakitangan pengurusan Tabung Haji akan mengunjungi rumah keluarga jemaah itu di Ipoh, Perak, esok (hari ini) bagi menyampaikan bantuan khairat kematian,” katanya.

Sempena kunjungan itu, Tabung Haji turut menyerahkan bantuan khairat kematian berjumlah RM1,500 kepada waris arwah.

myMetro 23 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment