September 21, 2013

Rumah terbakar ketika menoreh

Zainab melihat bahagian rumahnya yang terbakar pagi kelmarin

KUALA KRAI – Pasangan warga emas terkejut apabila dimaklumkan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan baik ketika keluar mencari rezeki, terbakar dalam kejadian di Kampung Sri Sepuloh, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Dalam kejadian pagi kelmarin, dua bilik serta bumbung rumah pasangan Zainab Abdullah, 68 dan Ibrahim Mamat, 80 musnah dalam kebakaran.

Zainab berkata, dia sedang menoreh getah di kebunnya yang terletak dua kilometer dari rumah ketika didatangi jiran memaklumkan mengenai kejadian dan memintanya pulang segera.

Dia mengakui terkejut mendapat berita itu sehingga sukar melangkah pulang kerana tidak dapat membayangkan keadaan rumahnya ketika itu, tambahan baru keluar menoreh ketika kejadian.

“Nasib baik makcik tidak ada penyakit. Sekiranya ada penyakit berbahaya, makcik boleh rebah mendengar berita disampaikan jiran.

“Selepas diberitahu rumah terbakar, sukar untuk makcik melangkah. Badan rasa lemah, tetapi makcik gagahkan juga untuk segera pulang melihat keadaan rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tengah hari semalam.

Menurut Zainab, dia keluar menoreh bersama suami pada kira-kira jam 6.30 pagi dan rumahnya berada dalam keadaan baik ketika itu.

Dia percaya kebakaran bermula dari bilik belakang berhampiran dapur rumahnya dan berkemungkinan kejadian berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

"Kejadian menyebabkan rumah makcik tidak selamat untuk didiami memandangkan bumbungnya terbakar. Makcik terpaksa cari kediaman lain untuk tinggal sementara rumah dibaiki," katanya.

Tambah Zainab, dia sudah mendiami rumah tersebut selama hampir 10 tahun dan tinggal di situ bersama suami, anak dan dua cucu.

Katanya, anggaran kerugian akibat kejadian itu adalah kira-kira RM60,000 dan bomba belum memaklumkan punca sebenar kebakaran.

Berikutan kejadian, Zainab dan Ibrahim menerima sumbangan segera berjumlah RM1,000 dari Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman yang melawat mereka sekeluarga sebaik mengetahui kejadian itu.

Sinar Harian 21 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment