September 20, 2013

RM20,000 kerana RM1,360


Ipoh: Seorang bekas pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohamed Ismail Habib Mohamed, 50, dari Pulau Pinang, mengaku bersalah apabila menuntut RM1,360 untuk menyediakan baju korporat pertubuhan itu kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Ismail mengikut Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan itu di pejabat PPK Sungai Tinggi, Trong pada 27 Julai 2010.

Peguam bela tertuduh, M Kathan, dalam rayuannya berkata, tertuduh sudah berkhidmat di lembaga itu selama 30 tahun dan mempunyai rekod yang baik.

Selain itu, katanya, tertuduh mempunyai dua anak termasuk salah seorang daripadanya mengalami kecacatan dan memerlukan penjagaan berterusan.

“Tertuduh kini menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta akibat kemurungan kerana didakwa terbabit dalam kes rasuah itu.

“Dia juga mendakwa hilang kerja, faedah dan pencen akibat daripada kes itu. Ia adalah hukuman yang berat kepadanya dan dia benar-benar insaf dengan kesalahan yang dilakukannya itu,” katanya.

Kathan berkata, agak sukar untuk tertuduh mendapatkan pekerjaan baru pada usia 50 tahun. Timbalan Pendakwa Raya A Hafiizh Abu Bakar bagaimanapun berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius walaupun membabitkan jumlah yang kecil.

myMetro 20 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment