September 12, 2013

5 maut, 9 cedera van bertembung lori rosak

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan salah seorang mangsa

BINTULU 12 Sept. - Lima pekerja kontrak pembinaan Taman Perindustrian Samalaju di sini maut manakala enam orang cedera parah selepas van yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori rosak di KM52, Jalan Pesisir Bintulu-Miri kira-kira pukul 8.00 malam tadi.

Tiga daripada mangsa termasuk pemandu van berkenaan pula hanya cedera ringan.

Kesemua mangsa adalah warganegara Indonesia.

Difahamkan, lori berkenaan ditinggalkan di tepi jalan selepas enjinnya terbakar petang semalam.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Bintulu. - UTUSAN

12 Sep 2013


Tragedi van laju Samalaju

Bintulu: Akibat kecuaian pemandu van yang dipercayai mahu mengelak lori rosak di bahu jalan, lima penumpang yang juga pekerja ladang sawit terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Bintulu-Miri berdekatan Simpang Ladang Takau di sini, kelmarin.

Kemalangan jam 7.45 malam itu berlaku ketika van yang membawa 14 pekerja warga Indonesia terbabit dalam perjalanan dari Samalaju menuju Bintulu.

Akibat hilang kawalan, kenderaan itu merempuh belakang lori yang tersadai di tepi jalan selepas enjinnya terbakar menyebabkan lima daripada penumpang van terbunuh di tempat kejadian.

Mangsa yang maut berasal dari Jawa Timur, Indonesia, dikenali sebagai Anwar, 28, Robet Mukyartim, 31, Imron Kurnuva, 29, Surasman, 21, dan Zainal Abidin, 24, manakala sembilan penumpang, enam daripadanya parah, kini dirawat di Hospital Bintulu.

Difahamkan, jalan gelap menyebabkan pemandu van itu tidak menyedari terdapat lori tersadai di tepi jalan berkenaan selepas mengalami kerosakan sejak jam 2 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Penguasa Kanan II Simon Dida berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8 malam sebelum mengerahkan 11 anggota bersama dua jentera termasuk dari Samalaju ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota penyelamat mendapati van yang dinaiki pekerja berkenaan remuk teruk dengan penumpang dilihat bertindih antara satu sama lain dan tidak sedarkan diri.

“Seorang penumpang di tempat duduk hadapan parah dengan kepala pecah dan berlubang dipercayai akibat tertusuk besi manakala beberapa mangsa lain dilihat dalam keadaan bergelimpangan bertindih sesama mereka.

“Kami tidak menolak van itu dipandu laju ketika menuruni bukit sebelum merempuh belakang lori dan kami mengambil setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Madang Usat berkata, pemandu van pekerja itu bagaimanapun hanya cedera ringan dan sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis akan mendapatkan perintah reman untuk menahan lelaki berusia 41 tahun itu bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Konsul Perlindungan Indonesia di Sarawak Monica Ariwijayanti berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi polis, semalam.

“Susulan itu, kami menghantar lima kakitangan ke Bintulu untuk urusan membawa pulang jenazah serta melihat keadaan mangsa yang cedera selain merekodkan keterangan mereka.

myMetro 13 Sep 2013


5 maut, 6 parah van gagal elak lori rosak

BINTULU 12 Sept. - Lima maut manakala enam parah selepas van dinaiki sekumpulan 14 pekerja warga Indonesia merempuh sebuah lori rosak yang ditinggalkan di bahu jalan di Kilometer 52, Jalan Pesisir Miri-Bintulu malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Anwar, 28; Robet Mukyatim, 31; Imron Kurnuva, 29; Surasman, 21, dan Zainal Abidin, 24.

Kesemua mereka yang merupakan penumpang van meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Enam lagi penumpang iaitu Rahmad Baitullah, 20; Junaidi, 23; Muhammad Sofyan, 30; Muhammad Nur Hairul Hafifi, 23; Mohammad Jubri, 34 dan Bahrudin Rasyid, 29, cedera parah.

Pemandu van jenis Toyota tersebut yang juga warga Indonesia, Muhammad Mudaris, 22, serta dua penumpang lain, Supeide, 31, dan Usman, 30, pula hanya mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bintulu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Madang Usat berkata, van dinaiki 14 lelaki yang bekerja di kawasan Perindustrian Samalaju tersebut dalam perjalanan membawa semua penumpang pulang selepas tamat waktu kerja.

"Sebaik sahaja tiba berhampiran simpang Ladang Takau, pemandu van itu tidak menyedari kelibat sebuah lori yang ditinggalkan pemiliknya di tepi jalan akibat terbakar kira-kira pukul 2 petang semalam.

"Dia gagal mengawal van dipandunya lalu merempuh bahagian kanan lori berkenaan. Rempuhan kuat menyebabkan van itu terbabas ke bahu kanan jalan dan terjunam ke dalam parit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Madang memberitahu, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van tersebut.

Sehubungan itu katanya, polis telah menahan pemandu terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan 13 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment