August 29, 2013

Panggilan bom palsu di Syarikat Air Negeri Sembilan

Gempar panggilan bom palsu

SEREMBAN – Kakitangan dan orang ramai yang berurusan di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS), di Seremban 2, dekat sini dikejutkan dengan penggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki, pagi semalam.

Panggilan itu diterima seorang kakitangan unit kawalan harta Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) yang ditempatkan di meja penyambut tetamu, kira-kira 9.10 pagi.

Berikutan itu, penguru-san bangunan PKNNS segera mengarahkan kira-kira 300 kakitangan, peniaga dan orang awam dalam bangunan berkenaan supaya mengosongkan bangunan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebaik saja dimaklumkan mengenai panggilan misteri itu, polis segera bertindak dengan mengarahkan unit pemusnah bom ke bangunan terbabit.

"Setelah pemeriksaan selesai kira-kira 11.20 pagi, kita mendapati tiada sebarang tanda-tanda ada bom diletakkan di bangunan berkenaan dan ia berada dalam keadaan selamat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, polis akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemanggil tersebut menerusi operator Telekom.

Sementara itu, kakitangan yang menerima panggilan berkenaan, Mohd Zulkarnain Nazaran, 21, berkata, suara yang membuat panggilan mengatakan terdapat bom dalam bangunan itu amat jelas dan ia adalah suara lelaki.

“Sebelum saya mengangkat panggilan itu, saya tidak mengesyaki apa-apa. Tetapi saya terkejut apabila dia memberitahu  terdapat bom dalam bangunan ini.

“Saya kemudian terus memaklumkan kepada rakan sekerja dan pentadbiran Sains sebelum pihak pengurusan bangunan PKNNS mengarahkan kami semua segera mengosongkan bangunan ini,” katanya.

Seorang lagi kakitangan Sains, Norzita Ismail berkata, panggilan bom palsu itu menggemparkan kakitangan yang ketika itu sedang sibuk bertugas.

Sinar Harian 30 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment