August 29, 2013

5 termasuk 3 anggota polis maut kemalangan di Beluran

KEADAAN kereta peronda polis yang remuk dalam nahas.

KEADAAN pikap yang bertembung dengan kereta polis.

BELURAN - Lima orang termasuk tiga anggota polis terbunuh dalam nahas jalan raya di KM 53 Jalan Beluran-Telupid pada Khamis.

Kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 4.50 petang apabila kereta dinaiki empat anggota polis itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki seorang lelaki dan empat perempuan.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata tiga anggota polis yang maut dikenali sebagai Kpl Saudi Meting, 48, Kpl Hedzrin Ginan, 36, dan Lans Kpl Khairul Firdaus Abrahim, 25.

Katanya seorang lagi, Konstabel Mohd Zaini Mohd Razwan, 28, cedera parah dan dihantar ke Hospital Beluran sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.

Saudi dan Hedzrin merupakan anggota polis trafik, manakala Khairul dan Mohd Zaini bertugas di cawangan Unit Peronda.

Sivanathan berkata dua penumpang kenderaan pacuan empat roda itu turut maut iaitu dua adik beradik perempuan dikenali sebagai Masiah Jailani, 47, dan adiknya Layni, 45.

Lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu, Arry Ak Gani, 24, mengalami cedera parah, manakala dua lagi penumpang perempuan, Imawati Siru, 20, dan Regnawati Siru, 22, cedera ringan.

Sivanathan berkata insiden berlaku ketika anggota polis berkenaan dalam perjalanan balik ke Beluran selepas melakukan satu tugasan di Telupid.

Polis masih menyiasat punca kejadian.

Sumber The Star 29 Ogos 2013


Tiga jenazah anggota polis IPD Beluran dikebumi hari ini

BELURAN - Ketiga-tiga jenazah anggota polis yang maut dalam kemalangan jalan raya di Km53 Jalan Beluran-Telupid semalam, dikebumikan di kampung halaman masing-masing hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan Sivanathan Velautham berkata, jenazah Koperal Saudi Meting dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air, Semporna manakala jenazah Kpl Hedzrin Ginan dikebumikan di Kampung Sungai Kayu, Sandakan.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan sebelum solat Jumaat, manakala jenazah Lans Koperal Khairul Firdaus Abrahim diterbangkan ke Limbang, Sarawak dan dikebumikan pada pukul 5.30 petang.

Seorang lagi mangsa kemalangan, Konstabel Mohd Zaini Mohd Razwan, dari Simpang Pulai, Perak, masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital

Duchess Of Kent Sandakan, katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama

30 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment