July 21, 2013

Maut di tingkap dapur

Salah seorang penduduk melihat tingkap yang meragut nyawa Sherol Aizam dalam kejadian kelmarin.

IPOH - Sangkaan seorang lelaki dirinya dapat melepasi tingkap sebuah rumah di Lengkok Kledang Raya, Taman Saz, di sini meleset dan dia ditemui mati dalam keadaan tersepit pada jeriji besi tingkap rumah berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 malam dan mangsa, Sherol Aizam Rashid, 27 ditemui oleh tuan rumah dalam keadaan hanya memakai seluar pendek (boxer) dengan separuh badannya tersangkut pada tingkap dapur rumah berkenaan.

Beliau berkata, maklumat berhubung kejadian diterima daripada pemilik rumah yang baru pulang dari berniaga dan anggota polis tiba di lokasi kejadian pada jam 12.15 pagi.

"Anggota yang tiba di lokasi ketika itu mendapati tubuh mangsa sudah kebiru-biruan dipercayai kesan keadaan dirinya yang tersepit pada jeriji besi tingkap dapur rumah berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas pemilik rumah mendapati dia tidak berada di rumah ketika kejadian. Dia (pemilik rumah) mendengar suara orang di bahagian dapur ketika tiba di rumah dan segera menghubungi polis selepas melihat lelaki itu," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Chang Keong berkata, polis terpaksa memotong jeriji besi untuk mengeluarkan mangsa sebelum menelefon ambulans untuk bantuan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika tiba di tempat kejadian.

Chang Keong turut memaklumkan bahawa, berdasarkan laporan bedah siasat mangsa didapati meninggal dunia akibat ‘postural asphyxia’, iaitu sesak nafas akibat tersepit dan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.

"Baju, seluar dan kasut mangsa ditemui dalam singki dapur rumah berkenaan dan jika waris tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat, mereka mempunyai hak untuk memohon bedah siasat dijalankan untuk kali kedua.

"Waris mangsa juga boleh membuat laporan polis jika mereka tidak berpuas hati dan kita akan ambil tindakan berdasarkan laporan polis yang dibuat," katanya.

Bagaimanapun tiada penjelasan punca dan tujuan sebenar lelaki tersebut memasuki rumah terbabit dimaklumkan kepada media.

Dengar jeritan minta tolong

Pemilik rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Chen, 55 berkata, ketika kejadian dia baru pulang selepas membantu isterinya berniaga makanan di Pasir Putih.

"Sebaik tiba di rumah saya dengan orang menjerit minta tolong dan saya terkejut melihat orang itu tersangkut di tingkap dapur rumah saya. Saya segera telefon polis untuk dapatkan bantuan," katanya.

Chen memaklumkan dia turut membuat satu laporan polis mendakwa dirinya diugut beberapa individu dan rumahnya dibaling dengan batu selepas kejadian itu.

Kedudukan rumah Chen serta rumah mangsa difahamkan berhampiran antara satu sama lain dengan hanya dipisahkan oleh dua buah rumah.

Bapa soal hasil bedah siasat

Sementara itu, bapa mangsa, Rashid Fuad, 50 memberitahu, kali terakhir dia bercakap dengan anak sulungnya itu adalah pada petang hari kejadian ketika mangsa menghubunginya untuk meminjam wang.

"Saya tak ada di rumah ketika itu, jadi saya suruh dia (Sherol Aizam) datang ke rumah pada waktu malam untuk ambil wang memandangkan dia menyewa bersama rakannya di Buntong.

"Saya sedih bila secara tiba-tiba diberitahu oleh isteri, anak saya meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati," katanya yang mendakwa terkilan selepas tidak dibenarkan melawat jenazah mangsa.

Rashid berkata, isterinya, Zaiton Hassan, 45 serta beberapa ahli keluarga yang melawat jenazah mangsa pada jam 8 pagi semalam mendakwa telah melihat terdapat kesan lebam pada dada, tangan, leher dan kepala mangsa.

Katanya, maklumat berkenaan membuatkan dia merasa tidak puas hati dengan keputusan bedah siasat yang menyatakan mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit.

"Saya akan buat laporan polis berhubung perkara ini untuk memohon bedah siasat kali kedua diadakan," katanya yang tidak menandatangani surat pengesahan kematian dikeluarkan pihak hospital.

Dalam pada itu, Rashid mengakui tindakan mangsa yang dilihat seakan-akan cuba menceroboh rumah orang lain merupakan satu kesalahan, namun tetap merasa sedikit ralat kerana kematian anaknya itu seolah-olah perbuatan khianat.

Sinar Harian 21 Jul 2013


Lelaki maut tersepit di tingkap

Shaerol Damanhuri

Ipoh: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tingkap dapur rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, di sini, malam kelmarin.

Shaerol Damanhuri, 27, dipercayai sesak nafas selepas gagal meloloskan diri menerusi tingkap berpalang besi di rumah jirannya itu sekitar jam 11 malam, dengan hanya berseluar pendek.

Pemilik rumah terbabit yang mahu dikenali sebagai Chen, 56, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan kesakitan seorang lelaki dari arah dapur rumahnya.

“Saya baru pulang ke rumah selepas membantu isteri berniaga di Pasir Putih. Saya terdengar jeritan meminta tolong dari arah belakang rumah dan selepas diamati saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki sedang kesakitan tersepit di palang besi tingkap.

“Saya terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu. Pada mulanya saya sangkakan lelaki itu warga asing tetapi selepas dilihat dengan lebih dekat rupa-rupanya anak jiran yang hanya tinggal selang dua rumah dari rumah saya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa minit kemudian polis tiba dan berjaya mengeluarkan lelaki itu tetapi mangsa didapati sudah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas kerana tersekat terlalu lama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi dan anggota polis yang bertugas tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Mangsa ketika itu hanya memakai seluar pendek manakala pakaian dan kasutnya diletakkan di tepi kaki lima bahagian luar dapur rumah dipercayai bagi memudahkan dia menyelinap masuk menerusi tingkap berkenaan.

“Polis terpaksa memotong palang besi tingkap terbabit bagi mengeluarkan badan mangsa. Bagaimanapun, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian 21 Jul 2013


'Tunjukkan bukti gambar anak saya tersepit'

IPOH 21 Julai - Bapa kepada seorang pemuda yang ditemui mati tersepit di palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya, bercadang membuat demonstrasi bagi menyangkal keputusan bedah siasat bahawa anaknya itu mati disebabkan oleh sesak nafas.

Mohd. Damanhuri Mohd Fuat, 50, berkata, dia akan melantik seorang sukarelawan yang berbadan sama saiz seperti anaknya untuk 'melakonkan semula' aksi pecah masuk rumah tersebut bagi membuktikan seseorang itu tidak boleh mati dengan hanya sesak nafas akibat tersepit, melainkan teruk dipukul.

"Saya telah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah esok bagi menjalankan bedah siasat kali kedua. Saya akan melihat kepada keputusannya dahulu sebelum membuat demonstrasi ini.

"Sekiranya keputusan adalah sama (mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit), saya tetap tidak akan berpuas hati kerana kenapa ada kesan lebam di badan seperti dipukul dengan objek keras termasuk di perutnya seperti dipijak serta dicekik di leher dan diikat di pergelangan tangan?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, tindakan anak sulung Mohd. Damanhuri iaitu Sherol Aizan, 27, yang didapati cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah, Asistem Komisioner Sum Chang Keoong berkata, hasil bedah siasat mendapati suspek meninggal dunia disebabkan postural asphyxia iaitu sesak nafas akibat tersepit.

Namun, Mohd. Damanhuri bertegas tidak mahu mengebumikan jenazah anaknya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat tersebut.

Ekoran itu, Mohd. Damanhuri berkata, dia telah membuat satu laporan polis di pondok polis Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira pukul 11 pagi semalam kerana percaya terdapat unsur jenayah atas kematian anaknya.

"Saya perlukan bukti gambar untuk menunjukkan bahawa anak saya mati disebabkan sesak nafas akibat tersepit di tingkap.

"Yang pasti saya tidak kebumikan jenazah anak selagi tidak dapat kebenaran. Mayat anak saya masih lagi disimpan di rumah mayat HRPB ketika ini," katanya yang turut berhasrat untuk membuat satu lagi laporan polis selepas ini.

Utusan 22 Jul 2013


Bapa mahu bedah siasat kedua

Ipoh: Jenazah Shaerol Aizam Damanhuri, 27, lelaki yang mati akibat tersepit di tingkap dapur sebuah rumah selepas gagal memecah masuk rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, Jumaat lalu, belum dituntut untuk dikebumikan keluarganya sehingga petang semalam.

Difahamkan, bapanya, Mohd Damanhuri Mohd Fuad, 50, enggan menuntut jenazah anaknya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), untuk dikebumikan sehingga bedah siasat kedua dijalankan.

Dia tidak berpuas hati dengan bedah siasat pertama dijalankan pakar patologi HRPB yang disifatkan gagal menjelaskan kesan lebam pada badan anaknya.

Suasana kecoh di pekarangan Unit Forensik HRPB pagi kelmarin selepas Shaerol pernah menjawat Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat sebelum keluar parti 2010, didakwa dipukul hingga mati oleh pemilik rumah ketika memecah masuk rumah di Taman Saz.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, keluarga mangsa perlu membuat permohonan kepada mahkamah mendapatkan suatu perintah bagi bedah siasat kedua.

myMetro 23 Jul 2013


Tuntut keadilan kematian anak

MANJOI – Seminggu selepas kejadian seorang pemuda, Sherol Aizam, 27 mati di celah tingkap ketika cuba masuk ke rumah jirannya, bapanya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya.

Bapa mangsa, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50 memaklumkan, laporan polis itu dibuat selepas melihat kecederaan dialami Allahyarham Sherol Aizam termasuk kesan yang didakwa seolah-olah dijerut pada leher.

Mohd Damanhuri mendakwa, kesan berkenaan tidak sepadan dengan laporan bedah siasat yang menyatakan anaknya mati akibat sesak nafas.

"Bagaimana mahu buktikan anak saya mati tersepit di celah tingkap sedangkan isteri saya melihat arwah anak saya sudah terbaring di bahagian belakang rumah berkenaan pada waktu kejadian.

"Dalam siasatan polis pula tiada gambar menunjukkan keadaan berkenaan denga alasan lupa selain diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit forensik juga tidak dipanggil ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui, semalam.

Sebelum itu, Mohd Damanhuri bersama isterinya, Salamiah Hassan, 45 telah membuat empat laporan polis di Balai Polis Majoi, di sini, semalam.

Mohd Damanhuri berkata, dia mengesyaki anaknya dipukul dalam kejadian berkenaan berikutan terdapat kesan lebam pada tumit dan pelipat kaki serta punggung mangsa.

"Keseluruhan badan Sherol Aizam mempunyai kesan lebam yang mungkin kerana dipukul oleh orang lain dan mungkin juga telah menyebabkan kematian.

"Saya mahu keadilan terhadap kematian tragis anak saya. Bukan untuk menegakkan kesalahan anak saya yang dilihat cuba menceroboh rumah orang lain, tetapi saya perlu tahu punca sebenar kematiannya," tegasnya.

Ditanya berkenaan usahanya untuk membolehkan bedah siasat kali kedua ke atas jenazah Sherol Aizam, Mohd Damanhuri menyatakan, dia merancang untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh, esok.

Katanya, perintah itu akan dibuat melalui peguam yang telah dilantik dan berdasarkan nasihat peguam, perbelanjaan tinggi perlu dikeluarkan untuk mendapatkan khidmat pakar bedah luar atau swasta.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan bahawa Sherol Aizam ditemui oleh tuan rumah yang cuba dimasukinya dalam keadaan hanya berseluar pendek dengan separuh badannya tersangkut pada tingkap dapur rumah di Lengkok Kledang Raya, Taman Saz, Silibin , di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa didapati meninggal dunia akibat 'postural asphyxia' iaitu sesak nafas akibat tersepit sekali gus menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah.

Sinar Harian 28 Jul 2013


Bapa pemuda diminta jumpa polis

IPOH 1 Ogos - Bapa kepada seorang pemuda yang ditemui mati tersepit pada palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya 20 Julai lalu diminta hadir bersemuka dengan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan jika masih tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa.

Mohd. Shukri berkata, pihaknya telah melakukan tugasan dengan sebaik-baiknya, justeru adalah tidak wajar sekiranya bapa mangsa, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat terus menyalahkan pihak polis.

"Kita sudah menasihatkan supaya mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan bedah siasat kali kedua. Baik pihak polis mahu pun pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kita tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan supaya bedah siasat kedua itu dijalankan.

"Kita sudah membuat yang terbaik dengan menasihati orang awam, namun, jika dia tidak berpuas hati, dia boleh datang berjumpa saya. Namun, dia tidak mahu mengikut prosedur tersebut," katanya.

Utusan 2 Ogos 2013


Bedah siasat dulu, baru kebumi

RUMAH yang menjadi tempat Sherul Aizam dikatakan mati tersangkut di tingkap di Taman Saz, Ipoh pada 20 Julai lalu.

IPOH – Bapa kepada Sherul Aizam, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat tetap mahu pihak berkuasa melakukan siasatan dan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya sebelum jenazah berkenaan dikebumikan.

Menurut Mohd. Damanhuri, 50, sebagai bapa dan waris, dia memahami peranan serta tanggungjawab sebagai umat Islam supaya menyegerakan urusan pengebumian jenazah Allahyarham Sherul Aizam, namun dia hanya mahukan kepastian mengenai punca sebenar kematian anaknya.

Bagaimanapun, dia dan keluarga bersedia duduk semeja dengan pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sekiranya pihak berkenaan memanggil mereka untuk membincangkan isu tersebut.

Kosmo 26 Ogos 2013


Bapa si mati tetap berkeras


IPOH - Bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat tetap enggan mengebumikan jenazah anaknya itu yang masih tersimpan di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak bulan lalu selagi bedah siasat kedua tidak dilakukan.

Pendirian terbaharu tersebut sekali gus membuktikan beliau tidak mempedulikan pandangan masyarakat sekeliling termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya menyegerakan pengebumian jenazah anaknya itu.

Mohd. Damanhuri, 50, (gambar kecil) sebaliknya kesal dengan sikap pegawai JAIPk kerana enggan mengadakan perbincangan dengannya di rumah mengenai isu tersebut sebagaimana dijanjikan.

Sehingga hari ini, jenazah Sherul Aizam telah tersimpan di bilik mayat HRPB selama 38 hari.

"Saya dan keluarga akan terus menunggu bedah siasat kedua pada 3 September ini sebelum jenazah anak saya itu dikebumikan.

"Saya harap semua pihak menghormati perasaan dan pendirian saya serta keluarga mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.

Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan.

Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam, 27, yang cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Kosmo 27 Ogos 2013


Haram sengaja lambat kebumikan jenazah

Ipoh: Tindakan melambatkan urusan pengebumian jenazah seseorang Muslim secara sengaja adalah haram, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes kematian perlu menyegerakan siasatan kerana tindakan melambatkan proses itu sehingga menyebabkan mayat lambat dikebumikan juga adalah haram.

Pihak berkuasa perlu uruskan jenazah 

Justeru, katanya, jenazah Shaerol Aizam Mohd Damanhuri, 27, yang ditemui mati tersepit di tingkap dapur rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, di sini, 19 Julai lalu dan kini masih ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, mesti dikebumikan.

Jika keluarga tak mahu tuntut dan menyempurnakannya, pihak berkuasa lain perlu buat sesuatu termasuk memohon perintah mahkamah untuk menguruskan jenazah pemuda itu. Dalam Islam, pengebumian mayat hendaklah disegerakan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Jenazah Shaerol Aizam belum dituntut selepas keluarganya tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sebelum mendesak jenazah dibedah siasat semula.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, sebelum ini turut menasihatkan keluarga arwah supaya menyegerakan pengebumian pemuda berkenaan.

Sewajarnya keluarga berkenaan menerima ketentuan Allah dan takdir yang berlaku ke atas mangsa. Mereka perlu selesaikan segera urusan pengebumian supaya tidak terus menyeksa jenazah, katanya.

Berita Harian 30 Ogos 2013


Bapa tetap enggan kebumi anak

IPOH – Mayat pemuda yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz di sini 20 Julai lalu tidak akan dikebumikan dan dijangka terus berada di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Semalam, bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam (gambar kecil), Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengebumikan jenazah anaknya selagi bedah siasat kedua tidak dilakukan.

Katanya, dia sedar tindakannya itu kurang disenangi banyak pihak termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan masyarakat yang mahu jenazah Sherul Aizam segera dikebumikan.

Kosmo 4 Sep 2013


Mahkamah tolak permohonan untuk bedah siasat kali kedua kes remaja mati tersepit 

 IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan untuk bedah siasat kali kedua dijalankan ke atas remaja lelaki yang ditemui maut selepas tersepit di tingkap rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, di sini, pada 20 Julai lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani membuat keputusan itu kerana permohonan terbabit tidak mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan.

Peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili bapa remaja berkenaan, Mohd Damanhuri Mohd Fuad ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada untuk merayu atau membuat permohonan inkues bagi kes berkenaan.

Berita Harian 11 Sep 2013


Jenazah lelaki maut tersepit di tingkap dituntut bapa selepas 60 hari
 
IPOH: Genap 60 hari, jenazah mangsa yang dikatakan mati tersepit di tingkap pada 20 Julai lalu akhirnya dituntut bapanya di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi tadi.

Jenazah Shaerol Aizam, 27, dituntut kira-kira jam 11 pagi, akan disembahyangkan di Masjid Muhibuddin Shah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar.

Bapa mangsa, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, berkata, keputusan dibuat selepas berbuat perbincangan dengan doktor pakar patalogi HRPB, peguam dan doktor peribadinya.

Berita Harian 18 Sep 2013



0 comments:

Post a Comment