July 24, 2013

Lelaki Keluar Beriadah Ditemui Mati Di Taman Botani

Voon Wei Ming

Mayat mangsa di bawa ke HPP untuk bedah siasat.

GEORGETOWN - Seorang lelaki mati dipercayai mengalami sesak nafas ketika beriadah di Taman Botani, di sini petang kelmarin.

Mayat Voon Wei Ming, 53, ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan tersandar pada batu besar berhampiran sungai di taman berkenaan kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal berkata, lelaki itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarga yang keluar rumah pada petang kelmarin namun tidak pulang sehingga 9 malam.

“Kita mula melancarkan operasi mencari selepas menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa. Operasi mengesan lokasi mangsa agak sukar kerana keadaan berbukit dan curam ditambah dengan keadaan gelap.

“Mangsa ditemui bersandar pada batu berhampiran sungai. Setelah diperiksa, mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian 25 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment