June 17, 2013

Bawa teman wanita bersiar-siar, pemuda ditetak

BESUT - Seorang pemuda berusia 19 tahun cedera selepas ditetak pada kaki kiri oleh sekumpulan lelaki ketika menghantar teman wanitanya pulang ke   asrama di sebuah sekolah di Alor Lintang di sini malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, pemuda terbabit yang menaiki motosikal diserang empat lelaki bersenjatakan parang dan pedang.

Mangsa yang tinggal di Kampung Keluang sebelum itu membawa teman wanitanya bersiar-siar menaiki motosikal sebelum menghantar gadis berkenaan  pulang ke asrama, bagaimanapun sebaik tiba di pekarangan sekolah mangsa dihampiri sebuah kereta dinaiki empat lelaki.

"Tiga lelaki keluar daripada kereta berkenaan dan menyerang mangsa dengan menggunakan parang dan pedang dengan menetak di bahagian kaki kiri  mangsa di hadapan temannya," kata Noor Zainy kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya suspek juga cuba mengheret mangsa masuk ke dalam kereta namun kehadiran orang ramai membantutkan perbuatan suspek.

Mangsa  kemudian digegaskan ke Hospital Besut oleh orang awam manakala suspek melarikan diri, katanya.

Menurut Noor Zainy, siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek merupakan bapa saudara kepada teman wanita mangsa. - Bernama

17 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment