April 10, 2013

'Saya sudah beri amaran'


LUI MUDA - Umno Cawangan Felda Lui Muda di sini, menafikan sekerasnya insiden merosakkan kain rentang manifesto Pakatan Rakyat (PR) malam, kelmarin dilakukan anak buahnya.

Mereka juga mendakwa, insiden tidak bertanggungjawab itu adalah perbuatan pihak luar yang datang ke Felda Lui Muda.

Penafian itu dibuat berikutan amaran supaya perbuatan khianat tidak dilakukan sudah diberikan kepada penduduk kampung ketika mesyuarat jawatankuasa kampung setiap bulan.

Ketua Umno cawangan Felda Lui Muda, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zahari Md.Din berkata, anak buahnya sudah diberi amaran supaya tidak sama sekali merosakkan apa juga bentuk barang milik parti lawan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Semasa mesyuarat ada saya ulang perkara ini, nasihat anak buah masing-masing tidak kira Umno atau PR jangan buat perkara yang boleh menimbulkan kekecohan susulan ia memberi kesan kepada kampung ini juga.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan PR untuk tidak menimbulkan sebarang masalah kerana PRU semakin hampir, dan kita mahu PRU nanti berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas II Negeri yang juga Yang Dipertua Pas Jempol, Abd Rahman Ramli berkata, beliau begitu menghargai usaha ahli Umno cawangan Felda Lui Muda itu yang memahami usaha PR.

“Parti masing-masing ada hak mempamerkan tawaran parti masing-masing kerana negara ini mengamalkan demokrasi. Tetapi apa yang lebih mengecewakan ada pula pihak yang sanggup sabotaj parti ini dengan memasang kain rentang berbaur hasutan.

“Walau apa pun terjadi, kita mahu rakyat membuat penilaian sewajarnya semasa PRU13 ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pas cawangan Felda Lui Muda, Abd. Malek Ahmad, berkata, terdapat dua pasang kain rentang manifesto PR yang diletakkan di kawasan rumah dua ahli Pas dirosakkan.

“Saya sedar kejadian itu awal pagi semalam, dan berkemungkinan perbuatan ini dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan  dibuat di Balai Polis Sungai Lui, semalam.

Sinar Harian 10 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment