April 16, 2013

10 rumah rosak dilanda ribut

S. Subramaniam (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Tan Poh Hian (dua dari kanan) pemilik kedai yang rosak akibat ditimpa pokok dalam kejadian ribut di pekan Jementah, Segamat, Johor, semalam.

SEGAMAT 15 April - Lebih 10 buah rumah serta sebuah kedai di daerah ini yang rosak dilanda ribut awal pagi semalam akan segera dibaiki menerusi bantuan pelbagai agensi kerajaan.

Penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan banyak bumbung kediaman rosak selain ada yang dihempap pokok tumbang terutamanya di sekitar Pekan Jementah.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, kawasan lain yang turut dilanda ribut ialah sekitar bandar Segamat serta Batu Anam, namun hanya membabitkan beberapa rumah.

"Di Jementah, ribut menyebabkan sebuah kedai serta enam rumah penduduk rosak dan secara keseluruhan membabitkan 50 penduduk. Setiap keluarga kerugian antara RM3,000 hingga RM4,000," katanya semasa melawat kawasan itu di pekan Jementah di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian tentang kos kerosakan akibat ribut sebelum sebarang bantuan dapat diberikan kepada mangsa.

Beliau berkata, kerugian hanya membabitkan kerosakan bumbung yang diterbangkan ribut, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Seorang mangsa, Tan Po Hlan, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian menimpa premis kedai menjual barangan sembahyang miliknya kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Sebelum itu, ribut kuat melanda kira-kira pukul 3 pagi tetapi saya berada di rumah dekat Taman Perpaduan, di sini. Apabila pergi ke kedai, saya lihat pokok besar di tepi jalan sudah tumbang menimpa kedai saya," katanya.

Dia yang sudah sembilan tahun berniaga di pekan tersebut berkata, kejadian ribut berkenaan kali pertama berlaku di situ.

Ibu kepada tiga anak itu bagaimanapun berterima kasih kepada Subramaniam yang segera mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membersihkan pokok tumbang tersebut kerana bimbang ia boleh menyebabkan risiko lain.

"Saya masih tidak tahu berapa jumlah kerugian, ketika ini saya sudah meminta pekerja untuk membaiki bumbung yang rosak kerana dihempap pokok berkenaan," katanya.

Utusan 16 Apr 2013


0 comments:

Post a Comment