March 27, 2013

Senjata api, bom tangan ditemui

Mohd Mokhtar bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas.

JOHOR BAHRU - Tindakan bersepadu sepasukan polis menyerbu dan memeriksa sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, membawa kepada penemuan serta merampas sejumlah senjata api bersama kelengkapan peluru, bom tangan serta sejumlah dadah, 21 Mac lalu.

Serbuan jam 5 pagi dilakukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seri Alam serta Unit Bom.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, daripada tindakan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 44 tahun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, susulan daripada tangkapan dan siasatan lanjut dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Selatan menemui sepucuk pistol jenis Walter bersama dua kelopak yang mengandungi 12 butir peluru hidup sekitar 3.45 petang, 24 Mac lalu.

“Sejumlah 30 butir peluru hidup jenis S&B 117.65Br dan sebutir bom tangan serta dua pucuk pistol mainan juga turut ditemui hasil dari pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang ada kaitan dengan kumpulan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini, semalam.

Antara barang dirampas adalah tujuh butir bom tangan; dua butir bom buatan sendiri; dua pucuk pistol jenis Revolver .38 dan sepucuk pistol jenis Walter bersama dua kelopak yang berisi enam butir peluru setiap satu.

Selain itu, dua pucuk pistol angin tiruan menyerupai jenis Semi Auto bersama sejumlah peluru plastik; dua pucuk pistol mainan plastik; satu alat pemanah; 451 butir peluru pelbagai jenis; sepasang gari; pelbagai peralatan dan kelengkapan senjata api serta empat butir bom tiruan.

Polis turut merampas dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 1,648 gram bernilai RM412,000; 9.5 gram ketamin (RM500); 5.1 gram (RM1,250); sembilan biji pil ekstasi (RM450) dan peralatan mencetak pil.

Sinar Harian 27 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment