March 27, 2013

Remaja mengaku samun wanita


BUTTERWORTH - Seorang remaja bersama rakannya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 2, semalam, atas tuduhan menyamun seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, pada Ogos tahun lalu.

Remaja berusia 20 tahun dan rakannya berusia 26 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Masyiri Peet sebaik kes mereka disebut semalam.

Remaja terbabit yang beralamat di Simpang Empat Bukit Tengah dan rakannya dari Taman Permai Bukit Tengah, Bukit Mertajam didakwa sama-sama melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.45 petang pada 28 Ogos 2012 lalu.

Mereka yang juga penganggur dituduh memecahkan cermin hadapan sebelah kiri kereta dinaiki Janet Hung Hui Nee, 29, di lampu isyarat berkenaan sebelum bertindak melarikan beg tangan milik mangsa yang mengandungi wang tunai.

Kedua-duanya kemudian melarikan diri menunggang motosikal ke arah Bukit Minyak sebelum ditahan beberapa hari kemudian dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 akta yang sama.

Hukuman penjara sehingga 14 tahun, didenda atau disebat boleh dikenakan ke atas mereka.

Hakim Masyiri menetapkan 5 April depan untuk menjatuhkan hukuman setelah pihak pendakwa memohon untuk mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan remaja terbabit berumur bawah 21 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Haron tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu.

Sinar Harian 27 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment