March 8, 2013

Penculik kena penjara, denda


IPOH - Seorang pemeriksa bahan mentah (material controller) sebuah syarikat petroleum di Lumut dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengaku bersalah menculik seorang remaja di Seri Manjung pada tahun 2011.

Tertuduh, S Zunarao, 25, mengangguk faham selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan pilihan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menculik Ng Chee Kong, 15 tahun (ketika kejadian) dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan salah.

Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Lumut, Taman Samudera, Seri Manjung lebih kurang jam 6.35 pagi pada 24 Ogos 2011.

Dalam pertuduhan pada 20 Jun 2012, Zunarao dituduh menculik orang yang sama bagi tujuan mendapatkan wang tebusan dan oleh yang demikian telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Bagaimanapun, pertuduhan itu dipinda selepas tertuduh mengaku bersalah semalam.

Selepas mendengar dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak Zainal Adzam memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda RM70,000 jika gagal membayar denda akan dikenakan hukuman penjara 14 bulan.

Sinar Harian 8 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment