March 9, 2013

Berdepan 106 tuduhan


KUANTAN - Seorang bekas eksekutif jualan sebuah syarikat percetakan di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi 106 tuduhan pecah amanah membabitkan 12,250 rim kertas A4 bernilai RM96,048.

Tertuduh, Raduan Taib, 46 dari Rancangan Rumah Murah (RRM) Batu Hitam di sini  didakwa menggunakan wang hasil jualan kertas milik majikannya itu  untuk kepentingan diri sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat di Jalan Lim Hoe Lek antara jam 8 .30 pagi hingga 5 petang sepanjang 8 Jun 2010 hingga 26 September 2011.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu lori bagaimana pun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali dan Majistret Jesicca Diamis.

Dia  tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Bagi 18 kes yang disebutkan dalam Mahkamah Majistret  Kuantan 1 mengandungi 54 tuduhan, Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tuduhan atau RM324,000 untuk  jumlah keseluruhan.

Manakala bagi 18 kes lagi yang dikemukakan Timbalan pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dalam Mahkamah Majistret Kuantan 2 mengandungi 52 tuduhan, tertuduh ditawarkan jaminan dalam jumlah sama bagi setiap tuduhan atau keseluruhannya sebanyak RM312,000.

Tertuduh yang kini hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan tergamam apabila jumlah jaminan keseluruhan yang ditawarkan pihak pendakwaan mencecah RM630,000.

Bagaimanapun tertuduh dibenarkan membuat rayuan terhadap jumlah jaminan yang ditawarkan dalam  kedua-dua mahkamah.

Dalam rayuan ringkasnya, tertuduh merayu agar jumlah jaminan itu diringankan kerana dia kini hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan terpaksa menyara isteri serta enam anak termasuk bayinya yang dilahirkan beberapa hari lalu.

Dia juga kini menghidap kencing manis dan terpaksa menerima rawatan lanjutan di hospital.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu,  Noor Zaihan dan Jesicca dalam keputusan mereka membenarkan jumlah jaminan itu dikurangkan daripada RM6,000 kepada hanya RM1,000 bagi setiap tuduhan.

Sinar Harian 9 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment