February 18, 2013

Rempuh rumah gara-gara belajar tunggang motosikal


KUCHING: Gara-gara ingin belajar menunggang motosikal, seorang gadis dikhuatiri mengalami patah tulang tangan selepas motosikal yang ditungganginya merempuh dinding sebuah rumah, malam kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku di Kampung Sungai Moyan Laut, Asajaya ketika mangsa yang berusia 15 tahun cuba menunggang motosikal milik seorang daripada rakannya sekitar jam 7 malam kelmarin.

Mangsa yang sebelum ini difahamkan sering dilarang oleh bapanya menunggang motosikal bagaimanapun dikatakan gagal mengawal motosikal rakannya itu lalu merempuh dinding sebuah rumah di kampung tersebut.

Ekoran insiden tersebut, mangsa yang gagal menyelamatkandirinya tercedera di beberapa anggota badan serta dikhuatiri mengalami patah tulang tangan kiri.

Mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, sambutan Hari Kekasih sekumpulan remaja berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka tercedera selepas terjatuh dari motosikal.

Menurut sumber, insiden malang tersebut telah menimpa seorang gadis juga berusia 15 tahun apabila dikatakan cuba melarikan diri dari bekas teman lelakinya.

Difahamkan, mangsa terdahulunya bersama beberapa rakannya baharu sahaja selesai menonton wayang di sebuah pasar raya terkemuka di sini sebelum terjumpa dengan bekas teman lelakinya di situ sekitar jam 9 malam.

Mangsa kemudian dikatakan telah mengikut bekas teman lelakinya itu bersiar-siar di pusat bandar raya dengan menaiki sebuah motosikal.

Bagaimanapun, mangsa yang curiga bekas teman lelaki itu mungkin mempunyai niat buruk terhadap dirinya kemudian bertindak melompat dari motosikal ketika melalui Jalan Simpang Tiga, di sini.

Disebabkan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan kemudian segera mendapatkan bantuan daripada rakannya yang lain untuk menghantarnya ke rumah ibu saudaranya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Utusan Borneo 16 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment