February 18, 2013

Majlis kahwin langsung tanpa kehadiran pasangan pengantin


NIBONG TEBAL - Satu majlis perkahwinan terpaksa dilangsungkan di sini sekalipun tanpa kehadiran pasangan pengantin.

Salmiah Ahmad, 56, ibu kepada pengantin perempuan berkata keluarganya terpaksa meneruskan majlis itu semalam kerana kad jemputan telah diedar kepada saudara mara dan sahabat handai, dan tidak sempat untuk ditarik balik.

Lagipun, segala urusan untuk kenduri telah dibereskan, katanya.

Anaknya, Nor Azlina Ismail, 23, keluar meninggalkan rumah Rabu lepas dan tidak pulang hingga hari ini.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Salmiah berkata Azlina keluar dari rumah tanpa membawa sebarang beg atau pakaian.

"Pada hari kejadian, saya dan suami ke mahkamah Jawi kerana ada urusan, manakala Azlina berada di rumah bersama adiknya.

"Dia suruh adiknya hantar ke jalan besar di hadapan perumahan ini.

"Dia beritahu adiknya yang dia nak keluar dengan kawan yang bekerja kilang dengannya sebelum ini, tetapi sampai malam Azlina tidak pulang.

"Ayahnya membuat laporan polis berhubung kehilangannya," kata Salmiah kepada pemberita di rumahnya di sini.

Salmiah berkata setahunya, Nor Azlina, anak kelima daripada enam beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau tunangnya.

Menurut beliau anaknya memang mahu mengahwini bakal suaminya.

"Azlina sayangkan tunangnya. Mereka dah bertunang tiga tahun," katanya.

Dalam pada itu, Salmiah berkata keluarganya tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu lari bersama seorang lelaki yang juga jiran mereka kerana lelaki itu juga hilang pada hari yang sama.  

Ayah Azlina, Ismail Saad, 60, pula berkata mereka sekeluarga bimbang mengenai keselamatan Azlina dan merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

"Kalau lelaki itu betul sukakan Azlina, bawalah dia balik ke pangkuan kami dan bincang elok-elok

"Kami sekeluarga boleh terima dia dengan baik," katanya. - Bernama

17 Feb 2013



‘Pulanglah Norazlina’

Keluarga Norazlina Ismail, 23, yang menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang lelaki tiga hari sebelum dinikahkan Sabtu lalu, berharap gadis itu pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Bapanya Ismail Saad, 60, berkata, dia sekeluarga bimbang keselamatan anak kelima daripada enam beradik itu yang keluar rumah jam 10.30 pagi pada Rabu lalu.

Berikutan kejadian itu, dia dan isteri, Salmiah Ahmad, 56, sukar melelapkan mata kerana asyik memikirkan keadaan anak perempuan mereka itu.

“Pak cik tak akan marah dia (Norazlina)...Pak cik cuma mahu dia balik, itu saja. Kami pun tak tahu kenapa dia tiba-tiba menghilangkan diri sedangkan sebelum ini dia bersungguh-sungguh hendak berkahwin selepas bertunang selama tiga tahun.

“Setakat ini tiada sebarang petunjuk mengenai lokasi anak saya, malah dia juga tidak menghubungi keluarga sejak hari kejadian,” katanya, semalam.

Norazlina sepatutnya diijab kabul dengan tunangnya Sabtu lalu, namun dibatalkan selepas dia gagal pulang ke rumah sejak hari kejadian.

Majlis kenduri diteruskan kelmarin dengan kenduri doa selamat walaupun tanpa kehadiran pengantin berikutan kad jemputan sudah pun diedarkan dan semua persiapan kenduri sudah diuruskan.

Sementara itu, Ismail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang berkata, dia terpaksa mengambil cuti beberapa hari bagi menenangkan fikiran berikutan kejadian yang menimpa dia sekeluarga.

“Macam mana hendak kerja kalau fikiran asyik teringatkan dia (Norazlina). Entah dia makan atau tidak...entah ada duit atau tidak, di mana dia berada pakcik pun tak tahu,” katanya.

myMetro 19 Feb 2013



‘Tetap terima dia’

Nibong Tebal: “Saya sangat sayangkan dia (Norazlina)...saya tak kisah, macam mana sekali pun, saya akan terima dia dan teruskan pernikahan kami. Begitu juga keluarga saya, sanggup terima dia. Cuma apa yang saya harapkan dia pulang semula ke pangkuan keluarga,” kata tunang Norazlina Ismail 23, yang menghilangkan diri sejak Rabu lalu, dipercayai mengikut seorang lelaki yang juga jirannya, tiga hari sebelum dinikahkan.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Museri, 33, berkata dia dan tunangnya tidak mempunyai masalah, malah mereka bahagia sepanjang tempoh tiga tahun bertunang, namun sikap Norazlina dikatakan berubah seminggu sebelum dia menghilangkan diri.

Menurutnya, tunangnya itu yang sebelum ini ceria tiba-tiba menjadi pendiam dan jarang menghantar mahu pun membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan daripadanya.

Bagaimanapun, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan mungkin tunangnya itu sibuk menguruskan perkahwinan mereka, namun terkejut apabila mengetahui tunangnya hilang bersama seorang lelaki.

“Saya tahu dia (Norazlina) tidak akan buat begitu (menghilangkan diri) kerana kami memang tak ada masalah. Saya pun bukan baru kenal dia, dah lebih lima tahun,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Museri yang juga pekerja swasta berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menjejaki tunangnya itu termasuk mencari sehingga ke Perak, namun gagal.

Dalam nada teresak-esak, lelaki itu berkata, dia tidak akan berputus asa dan terus berusaha mencari wanita itu sehingga ditemui.

“Sejak hari kejadian, dia (Norazlina) memang tidak hubungi saya atau keluarganya, malah talian telefonnya juga dimatikan. Bukan saja saya, malah keluarganya juga bimbang dan berharap dia pulang segera,” katanya.

Rabu lalu, Norazlina, anak kelima daripada enam beradik tidak pulang ke rumahnya di Taman Pekatra, Simpang Ampat selepas dikatakan keluar bertemu rakannya di Taman Pelangi untuk mengambil wang, kira-kira jam 10.30 pagi.

Berikutan kejadian, majlis pernikahan yang dijadualkan diadakan Sabtu lalu terpaksa dibatalkan.

myMetro 20 Feb 2013


0 comments:

Post a Comment