January 24, 2013

Taktik cuci muka di masjid tak menjadi


TENDONG – Taktik mencuci muka di kolah Masjid Tendong tidak menjadi apabila jemaah mendapati dua remaja cuba mencuri motosikal yang di parkir, jam 5 petang semalam.

Jemaah, Zaradi Mohd Zain, 47, berkata, kehadiran dua remaja yang tidak dikenali mengundang curiga kalangan penduduk di sini.

Menurutnya, tindakannya yang mundar-mandir di sekitar masjid dan menuju ke kolah didapati hanya mahu mengelirukan jemaah masjid.

“Mereka tidak pula mahu mengambil wuduk sebaliknya hanya berkeliaran sekitar masjid tanpa sebarang urusan.

“Selesai solat, kami dikejutkan dengan bunyi bising dan penduduk menangkap mereka kerana cuba mencuri motosikal Yamaha LC,” katanya, semalam.

Sementara itu, saksi yang hanya mahu dikenali Phua, 71, berkata, sebelum kejadian ini, dia melihat kelibat dua remaja berada di motosikal Honda EX5 di kafe siber, pada jam 1.45 petang.

“Terkejut dengan jeritan saya, mereka lari tanpa sempat mengambil motosikal berkenaan.

“Saya agak mereka bukan orang tempatan kerana semua penduduk di sini sedar, ada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kedai berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, penduduk juga yakin ini bukan kejadian pertama yang dilakukan remaja berkenaan, kerana penduduk melihat kelibat mereka beberapa kali petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Sinar Harian 24 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment