January 31, 2013

Pekerja pusat internet bebas tuduhan bakar rumah Ahmad 100


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pusat internet dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada tuduhan membakar pintu rumah sewa seorang lelaki, yang didakwa ketua kumpulan Ajaran Ahmad 100, Mac tahun lalu.

Majistret Nurul ‘Ain Abdul Rahim membebaskan Mohd Abu Bazrah Ahmad Zakki, 29, selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Ketika membuat keputusan itu, Nurul ‘Ain berkata, mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh bahawa dia berada di tempat kerja semasa kejadian dengan sokongan alibi dan saksi alibi serta demenaour yang ditunjukkan adalah fakta yang benar.

“Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi pembelaan, dan mahkamah percaya tiada keraguan terhadap keterangan saksi, yang merupakan bekas pengikut kumpulan Ahmad 100.

"Oleh itu mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh dan saksi-saksi ada kredibiliti, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Abu Bazrah dilihat menekup tangan ke wajah sambil menarik nafas lega selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Mohd Abu Bazrah didakwa melakukan khianat dengan api, dengan cara membakar pintu rumah sewa milik Ahmad Shahrizal Ya Shah, 34, yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM50.

Kejadian didakwa berlaku di rumah bernombor 204, Blok B4, Seksyen 4,  Wangsa Maju, sekitar jam 8.30 pagi pada 28 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan denda, jika sabit kesalahan.

Seramai empat saksi pendakwaan, dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuli manakala tertuduh diwakili peguam Wan Ahmad Shamril Wan Afzam Wan Hasim.


Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment