January 1, 2013

Wanita dicabul terjun kereta


KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah sanggup terjun dari kereta selepas diculik seorang lelaki yang mencabulnya dalam kejadian di Jalan Genting Klang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun cedera di badan sebelum diselamatkan dua lelaki.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggu bas sendirian untuk ke kedai apabila tiba-tiba didatangi seorang lelaki menaiki Perodua Kancil.

Katanya, lelaki itu memberhentikan kenderaan dan bertanya kepada mangsa lokasi yang ingin dituju sebelum mempelawanya naik percuma.

“Mangsa yang memberitahu mahu ke Seri Rampai menolak pelawaan itu dengan baik, namun lelaki itu bertindak ganas apabila turun dari kereta sebelum menarik tangan mangsa.

“Mangsa melawan, tetapi gagal apabila lelaki itu terus menolaknya masuk ke dalam kenderaan dan membawanya bersiar-siar di sekitar ibu kota selama setengah jam,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mencabulnya. “Perbuatan itu menyebabkan mangsa membuka pintu kereta dan terjun,” katanya.

Katanya, sebaik terjun dari kereta itu, dua lelaki berusia 20-an yang kebetulan berada di lokasi kejadian membantu dan membawa mangsa ke Balai Polis Gombak untuk membuat laporan sebelum dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

myMetro 1 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment