December 18, 2012

Pembantu peribadi anggota Parlimen Kapar ditemui mati dibunuh


Pertengkaran punca pergaduhan

SHAH ALAM: Pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, mati dibunuh selepas berlaku pertengkaran dengan seorang penghuni Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan di sini, semalam.

Kejadian itu berlaku jam 8.15 pagi, selepas mangsa KS Natchymuthu, 53, yang juga pengerusi persatuan penduduk pangsapuri berkenaan terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang tukang kebun yang bekerja menjaga kebersihan persekitaran kawasan kediaman terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Idzham Jaafar, berkata polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudiannya menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di depan pondok pengawal pangsapuri berkenaan.

Diserang senjata tajam 

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya bertengkar mengenai sistem pengurusan di kawasan kediaman ini, sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan. Suspek yang berang bertindak menyerang mangsa dengan menggunakan senjata tajam dan batang besi, dipercayai peralatan berkebun.

“Mangsa parah seluruh badan terutama di bahagian kepala dan belakang badan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya.

Idzham berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun, dipercayai suspek utama kes itu 20 minit selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi, mengesahkan mangsa adalah pembantu peribadi merangkap pemandunya, yang baru dua bulan dilantik sebagai pengerusi penduduk pangsapuri berkenaan.


Berita Harian 19 Dis 2012


Mati dendam tukang kebun


SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Natchymuthu maut.

SHAH ALAM: Perselisihan faham yang berlarutan sekian lama antara seorang ketua penduduk dengan tukang kebun sebuah pangsapuri di sini, mencapai kemuncaknya semalam apabila pemimpin masyarakat terbabit mati akibat dihentak di kepala dengan penyodok tanah.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, K S Natchymuthu, 53, parah di kepala dan badan, namun sempat menunggang motosikal sejauh 30 meter sebelum jatuh dan meninggal dunia.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, Seksyen U9, di sini, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran di antara Natchymuthu dengan tukang kebun yang berusia 43 tahun itu sebelum suspek hilang pertimbangan lalu memukul mangsa di kepala dan badan menggunakan penyodok tanah.

Beliau berkata, biarpun parah mangsa masih sempat melarikan diri menaiki motosikal, namun rebah berhampiran pondok pengawal keselamatan 30 meter dari tempat dia dipukul.

myMetro 19 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment