December 7, 2012

Pelajar Malaysia meninggal dunia selepas berjoging di London

Mohd Fazli Fadzillah

Mohd Fazli ketika memberi ucapan di London bulan lalu

LONDON: Seorang pelajar Felda dari Universiti Lim Kok Wing, Mohd Fazli Fadzillah, 24 yang meninggal dunia selepas berjoging pada Rabu lalu telah memberikan satu ucapan penuh emosi dalam satu majlis pada bulan lalu.

Dalam ucapannya allahyarham mengucapkan terima kasih kepada Felda kerana mengabulkan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Allahyarham menyampaikan ucapannya di hadapan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan serta  Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad di kampus universiti berkenaan di London.

Dalam ucapannya, allahyarham berkata, “Masih segar lagi dalam ingatan saya hari bersejarah di mana saya telah dipilih antara 100 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran satu semester di luar negara. Sukar saya hendak mempercayainya. Sejak di sekolah menengah, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki di negara ini, berjalan di kalangan warganya dan menghirup udara negara ini. Ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan. Terima kasih Felda,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh dari pelajar-pelajar lain yang datang bersama-sama dengannya untuk melanjutkan pelajaran di tahun akhir di kampus Univerisiti Lim Kok Wing di London.

Semasa ucapannya, allahyarham mengimbau kembali pada hari pertama dia tiba di London, "Malam itu sejuk, saya teringatkan cuaca panas di Malaysia, saya rindukan kampung halaman, saya rindukan ayah, saya rindukan ibu, saya rindukan rakan-rakan, asam pedas ikan pari dan keropok lekor. Tetapi ini bukan satu percutian atau berbulan madu bagi kami. Kami mempunyai satu misi, kami perlu mengharungi banyak rintangan dan bersama kami perlu berubah untuk Felda dan negara kami Malaysia."

Ucapan bersemangat dan penuh emosi itu merupakan ucapan terakhir bagi pelajar Creative Imaging dan Digital Photography dari Felda Papan Timur, Johor, yang rebah dan meninggal dunia pagi semalam ketika menghadiri program empat hari Kepimpinan Belia Felda di Chingford.

Pengarah Pendidikan Malaysia di England dan Ireland, Dr Mohd Anizu Mohd Nor yang menghadiri program berkenaan yang bermula pada Selasa lalu berkata, allahyarham Fazli telah pergi berjoging pada paginya dan kembali semula pada pukul 8 pagi sebelum rebah di dewan makan. Bagaimanapun, allahyarham pulih dan mengambil secawan kopi lalu keluar semula sebelum rebah untuk kali kedua.

"Anggota paramedik dan seorang doktor yang tiba kemudian cuba memberikan bantuan perubatan namun allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi," katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke pejabat koroner Essex dan Pengarah Pengembumian dari London Timur telah dihubungi bagi urusan membawa jenazah ke sebuah hospital. Mayat mangsa dijangka akan dibedah siasat sebelum dibawa pulang.

Dr Anizu juga berkata urusan untuk membawa dua orang ahli keluarga allahyarham telah dibuat dan salah seorang darinya adalah bapa allahyarham yang akan diterbangkan ke London.

Kejadian itu telah mengejutkan pelajar-pelajar lain yang berada di Pusat Aktiviti Gilwell, Chingford  dan ada di antara mereka yang menangis apabila mendengar berita tersebut.

Program tersebut kemudian diteruskan dengan bacaan doa untuk allahyarham Mohd Fazli.

Sumber NST 6 Dis 2012


Bapa reda takdir anak

KOTA TINGGI: “Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan sebaik dimaklumkan pegawai Kedutaan Malaysia di London, United Kingdom (UK) yang Fazli meninggal dunia.

“Saya hanya reda dan berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan Allah,” kata Fadzilah Samsudin, 49, bapa Mohd Fazli, 24, pelajar Universiti Lim Kok Wing Cawangan London yang mengikuti pengajian Pengimejan Kreatif dan Fotografi Digital selama lima bulan.

Ketika kejadian, arwah mengikuti program ‘Kepimpinan Belia Felda’ di Chingford, UK bermula Selasa lalu.

Berdasarkan maklumat diberikan Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di London, Dr Mohd Anizu Mohd Nor yang hadir sepanjang program, arwah dikatakan keluar berjoging dan kembali semula pada jam 8 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) sebelum rebah di dewan makan, kelmarin.

Bagaimanapun, menurut Dr Mohd Anizu, Fazli bagaimanapun pulih sebelum meminum secawan kopi dan keluar kembali dan ketika itu arwah dikatakan rebah kali kedua.

myMetro 7 Dis 2012



Jenazah pelajar meninggal di London selamat dikebumi

KOTA TINGGI — Jenazah pelajar tajaan Felda yang meninggal dunia selepas keluar berjoging di kawasan kampusnya di Universiti Lim Kok Wing, United Kingdom, London pada 5 Dis lepas, selamat dikebumikan.

Jenazah Mohd Fazli Fadzilah, 24, yang mengikuti pengajian Pengimejan Kreatif dan Fotografi Digital selama lima bulan di universiti itu, dikebumi pada kira-kira 3 petang di tanah perkuburan Islam Felda Papan Timur di sini semalam.

Wakil Ibu Pejabat Felda Saifullah Mat Nor berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang ke tanah air pada kira-kira 6 petang semalam (waktu Malaysia) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8 pagi tadi.

"Felda membelanjakan kira-kira RM30,000 bagi menanggung segala kos sepanjang proses membawa jenazah arwah ke Malaysia.

"Walaupun berlaku sedikit kelewatan untuk sampai ke Malaysia berikutan masalah cuaca, namun segalanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saifullah juga berkata ketibaan jenazah di KLIA turut disambut Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad.

Beliau berkata dua van daripada Ibu Pejabat Felda Wilayah turut mengiringi jenazah dari KLIA sehingga ke rumah mangsa di Felda Papan Timur.

Sementara itu, ibu Mohd Fazli, Ruziah Rashidi, 48, berkata hanya penghargaan yang mampu diucapkan atas jasa pihak Felda yang menanggung segala kos untuk membawa pulang jenazah anaknya.

"Setinggi-tinggi penghargaan buat Felda kerana membantu kami menguruskan segalanya sehingga arwah selamat dikebumikan di sini. Tanpa bantuan pihak Felda, kami tidak tahu bagaimana hendak membawa jenazah pulang.

"Sebagai ibu, saya juga reda dengan pemergian arwah. Sewaktu ayahnya dan seorang adiknya pergi ke sana untuk menguruskan hal tersebut, kami di sini setiap hari membuat tahlil untuk arwah,” katanya. - BERNAMA

15 Dis 2012








0 comments:

Post a Comment