December 23, 2012

Murid tahun 5 maut dibaham buaya


ANGGOTA bomba dan penduduk melancarkan gerakan memburu buaya membaham Jerry di Sungai Suai, Miri semalam. Gambar kecil Jerry.

MIRI – Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Iran Suai maut selepas diserang seekor buaya dalam kejadian di Sungai Suai dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Jerry Apat Angsa, 11, berasal dari Rumah Panjang Sulang Suai difahamkan turun ke sungai berkenaan bersama dua lagi rakannya untuk mandi.

Namun, niatnya tidak kesampaian selepas seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai membaham paha kiri budak malang itu sebelum mengheretnya masuk ke tengah sungai.

Menurut sumber, berdasarkan keterangan rakan yang enggan dikenali, Jerry sempat membasuh bajunya di jeti sebelum diserang oleh reptilia ganas itu.

“Rakannya yang tergamam melihat badan mangsa dilambung dan ditarik buaya ke tengah sungai terus menyelamatkan diri dan berlari pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian kepada keluarga Jerry.

“Selepas menerima berita itu, bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, bersama penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian namun kelibat buaya ganas tersebut sudah tidak kelihatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 23 Dis 2012


Jasad anak dalam mulut buaya

MIRI : Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas disambar buaya ketika mandi di Sungai Suai, di sini, jam 10 pagi kelmarin.

Jerry Apat Angsa, 11, ditemui jam 5.30 petang hari kejadian ketika sebahagian tubuh mangsa masih berada dalam mulut buaya yang dianggarkan sepanjang enam meter.

Dalam kejadian itu, satu pasukan Bomba dan Penyelamat Miri dikerah ke lokasi kejadian sekitar jam 3.30 petang untuk menjalankan gerakan mencari dan menyelamat, menjangkau keluasan empat kilometer ke hilir sungai berkenaan.

Operasi yang turut disertai bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, berjaya menemui mayat mangsa selepas dua jam mencari.

Tidak tahan melihat tubuh anak kesayangannya dibaham buaya, Angsa melepaskan satu das tembakan yang terkena muncung buaya itu dan menyebabkan reptilia ganas itu melepaskan jasad mangsa daripada mulutnya, sebelum beredar.

Tubuh kecil yang masih berseluar dalam kemudian dinaikkan pasukan penyelamat dan mendapati beberapa bahagian tubuhnya patah dengan kesan gigitan besar di paha kiri.

Utusan 24 Dis 2012


Mangsa kedua buaya

MIRI: Tragedi menimpa seorang murid tahun lima yang maut selepas dibaham buaya di Sungai Suai, pagi kelmarin, bagaikan mengiyakan keresahan lebih 100 penduduk berikutan reptilia berkenaan kerap muncul di permukaan air sebelum ini.

Jerry Apat Ansa menjadi mangsa kedua selepas seorang warga Indonesia maut dibaham buaya ketika mandi di sungai itu pada 2010 dan kejadian berlaku di tempat sama.

Penduduk Umbang Lang, 37, berkata, kejadian menimpa menyebabkan penduduk takut ke sungai untuk mandi atau mengambil air bagi kegunaan harian.

“Kebanyakan kami penghuni rumah panjang di Kampung Iran Suai bergantung sepenuhnya kepada air sungai dan hujan berikutan tiada bekalan air paip bersih di kawasan kami. Setiap hari, kami terpaksa ke sungai sama ada mandi atau membasuh pakaian.

“Memang takut kerana sering terserempak buaya timbul di sungai berkenaan, namun kami tiada pilihan dan terpaksa bergantung hidup dengan sumber air sungai itu meneruskan kegiatan harian kami.

myMetro 24 Dis 2012


Buaya Bujang Suai akhirnya tumpas


ANGSA (tengah) bersama dua pawang buaya, Nyegang (kiri) dan Agong, selepas berjaya menangkap buaya Bujang Suai di Sungai Suai, Miri semalam.

MIRI – Seekor buaya ganas yang menjadi buruan selepas membaham seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Iran Suai sebulan lalu akhirnya berjaya ditangkap dan dibunuh dekat sini semalam.

Sang bedal yang mendapat jolokan Bujang Suai itu tumpas di tangan dua pawang buaya tempatan, Nyegang Nawing, 53, dan Agong Reyang, 70, yang menggunakan pancing berumpankan daging babi.

Buaya jantan seberat hampir 300 kilogram dan sepanjang empat meter itu disahkan sebagai Bujang Suai berdasarkan kesan tembakan di bahagian bawah rahangnya yang dilepaskan bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, dalam usaha mendapatkan Jerry Apat Angsa, 11, yang digonggong reptilia tersebut selama beberapa jam pada 22 Disember lalu.

Menurut Angsa, buaya itu ditangkap hidup-hidup oleh kedua-dua pawang berkenaan pada pukul 8 pagi semalam selepas memakan umpan yang dipasang di Sungai Suai, kira-kira dua kilometer dari Rumah Panjang Sulang Suai.

Kosmo 24 Jan 2013


Lunas dendam

Bintulu: “Aku bayar dendam aku,” kata Angsa Indang, 45, sambil membelah perut Bujang Suai iaitu seekor buaya sepanjang 13 meter yang disyaki membaham anak bongsunya sebulan lalu ketika mandi di Sungai Suai, dekat sini.

Semalam, reptilia yang dikatakan membunuh Jerry Apat, 11, murid tahun lima Sekolah kebangsaan Kampung Iran itu berjaya ditangkap dua pawang buaya, Nyegang Nawing dan Agong Rayang dari Sungai Temiang, Bakong menggunakan umpan daging babi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Buaya jantan yang turut diberi nama jolokan S Jibeng oleh penduduk setempat itu dikatakan digeruni kerana dipercayai pernah mengganas dan meragut nyawa manusia berdasarkan beberapa kesan luka tembakan pada kepala dan ekor termasuk mata kiri yang buta.

Pemburuan menggunakan kaedah tradisional itu dimulakan petang Isnin lalu menggunakan pancing lebih 10 mata kail bertali rotan dan berumpan daging babi itu berhasil membunuh buaya berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Sebaik bangkai reptilia itu ditarik ke darat, Angsa dilihat menghampirinya sambil melepaskan kemarahan dengan beberapa kali menghamburkan kata-kata “aku bayar dendam aku”, “kenapa kacau aku” dan “kau bunuh anak aku”.

myMetro 24 Jan 2013



Dendam si ayah berbalas jua Sebulan memburu, buaya yang membaham anak dibunuh setelah berjaya ditangkap


NIAH: Dendam seorang ayah terhadap sang bedal yang membaham anaknya berbalas semalam selepas sebulan memburu reptilia itu di Sungai Suai.

Angsa Indang, 40, yang memburu buaya tersebut sejak insiden anaknya dibaham buaya di sungai itu pada 24 Disember tahun lalu, berjaya mengumpan buaya tersebut menggunakan daging khinzir.

Buaya sepanjang empat meter tersebut berjaya ditangkap oleh Angsa bersama dua pawang buaya pada jam 8 pagi semalam selepas ia termakan umpan daging khinzir yang dipasang pada mata kail khas.

Mereka kemudian membawa buaya tersebut balik ke rumah panjang di mana ia kemudian dibunuh sendiri oleh Angsa di hadapan kakitangan dan pegawai dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang dipanggil bagi mengesahkan penangkapan buaya itu dan untuk mematuhi peraturan.

Berdasarkan tanda-tanda pada buaya tersebut terma-suk matanya buta sebelah, mereka mengesahkan ia adalah buaya sama yang membaham anak Angsa.

Angsa yang ditemui di kediamannya di Rumah Sulang, Kampung Iran, Suai di sini semalam memberitahu,
sebelum ini beliau telah memburu buaya berkenaan namun tidak berhasil.

Demi dendam terhadap buaya tersebut yang telah meragut nyawa anak kesayangannya, beliau telah me-minta bantuan dua pawang buaya dari Bakong iaitu Tuai Rumah Ningkan Nawing, 53, dan Agong Rayang, 70.

Dengan bantuan mereka, katanya, beliau seperti biasa turun memasang pancing untuk memerangkap buaya tersebut pada jam 6 petang kelmarin.

“Dengan berumpankan daging babi, saya pasang pancing di tepi Sungai Suai di mana buaya itu telah membaham anak saya pada jam 6 petang semalam (Selasa).

“Pada pagi tadi (semalam), bersama kedua-dua pawang tersebut, saya turun untuk memeriksa pancing dan saya amat gembira kerana umpan saya mengena,” katanya.

Di hadapan ratusan penduduk rumah panjang tersebut dan orang ramai yang datang selepas mengetahui beliau berjaya menangkap buaya itu, Angsa membunuh buaya itu untuk ‘melepaskan’ dendamnya dengan merejam menggunakan lembing.

Angsa kemudian memotong kepala buaya tersebut menggunakan sebilah parang dan kapak.

Pada 24 Disember tahun lalu, anaknya Jerry Apat Angsa yang berusia 11 tahun, hilang selepas dibaham ketika mandi di Sungai Suai bersama rakan-rakannya.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang turut serta dalam usaha mencari mangsa ketika itu, berjaya menemui mayatnya dengan kesan gigitan reptilia tersebut, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

Utusan Borneo 24 Jan 2013



0 comments:

Post a Comment