December 19, 2012

Lelaki ditembak mati cuba samun pusat Internet


Ajal selepas gagal merompak


KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu menangis dan menjerit meminta tolong ketika dua lelaki bertopi mengacukan parang selepas memecah masuk kedai dan meminta saya menyerahkan wang tunai sebelum melarikan diri,” kata pekerja sebuah pusat Internet di Taman Len Seng, di sini, dikenali sebagai Winnie, 20 tahun yang menjadi mangsa samun, semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tidak dikenali itu pada mulanya menceroboh premis terbabit kira-kira jam 9.30 malam dan terus membuka mesin wang namun hampa berikutan tiada wang di dalamnya.

“Mereka kemudian datang ke arah saya dan cuba mengacukan parang serta meminta menyerahkan wang tunai jika tidak mahu diapa-apakan, ketika itu ada seorang pelanggan sedang bermain komputer.

“Saya yang ketakutan kemudian bertindak menjerit meminta tolong sambil menangis dan memberitahu tidak mempunyai wang menyebabkan mereka panik dan terus melarikan diri,” katanya.

Winnie berkata, selang beberapa minit kemudian dia terdengar bunyi tembakan di luar premis menyebabkan dia memberanikan diri keluar sebelum mendapati lelaki yang mengacukan parang mati ditembak polis.

“Premis ini baru beroperasi selama dua minggu dan ini kejadian kali pertama berlaku sejak saya bekerja di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek berusia 20-an bersama seorang rakannya dipercayai cuba menyamun pusat Internet terbabit sebelum seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang kebetulan membuat risikan di kawasan berkenaan kira-kira jam 10 malam terserempak dengan mereka.

Menurutnya, pegawai polis berkenaan yang terdengar jeritan dari dalam premis terbabit bertindak memberhentikan kenderaannya sebelum dia mendapati dua lelaki bersenjatakan parang cuba melarikan diri.

“Dia kemudian memperkenalkan diri sebagai polis dan cuba menahan mereka namun suspek cuba menyerangnya menyebabkan dia terpaksa melepaskan satu das tembakan mengenai dada seorang suspek sementara rakannya berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas mayat kita menjumpai dadah di dalam poket seluarnya dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan. Kita juga akan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) untuk siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

myMetro 19 Dis 2012


Mati ditembak ketika cuba samun pusat Internet


KUALA LUMPUR — Seorang lelaki ditembak mati polis selepas cuba menyamun sebuah pusat internet bersama seorang lagi rakannya di Taman Len Seng dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, suspek yang berumur 20-an bersama seorang rakannya dikatakan cuba menyamun premis tersebut sebelum ditembak seorang anggota polis yang kebetulan membuat risikan di kawasan itu.

"Kedua-dua suspek bersenjata parang masuk ke premis itu untuk menyamun.

Jeritan juruwang di premis tersebut didengari polis terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Beliau berkata suspek cuba melarikan diri bila menyedari kehadiran polis.

Anggota polis berkenaan menahan suspek sebelum seorang dari mereka cuba melawan dengan menggunakan parang.

"Anggota polis itu terpaksa melepaskan satu tembakan dan mengenai dada suspek manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri,” katanya sambil menambah menemui sedikit dadah pada suspek.

Beliau berkata suspek yang mati serta merta dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Sementara itu juruwang premis tersebut yang dikenali sebagai Winnie, 20, berkata suspek yang memakai topi masuk ke premis tersebut bersama seorang lagi rakan jenayahnya.

"Suspek pergi ke tempat saya (cashier) meminta wang sambil mengacukan parang, suspek menggeledah mesin juruwang yang kosong sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita. — BERNAMA

19 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment