December 16, 2012

Lagi kemalangan lebuh raya dekat Gopeng, 3 kenderaan terlibat, pemandu lori maut


IPOH: Seorang pemandu lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam kemalangan pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi di  KM304.6  Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Gopeng arah utara, Ng Kok Ang, 45, maut di tempat kejadian manakala kelindannya Roslee Siron, 48, dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

Ketua Polis Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Siasatan awal menunjukkan lori yang dipandu mangsa telah melanggar sebuah treler di laluan kiri," katanya.

"Akibat perlanggaran itu, lori tersebut berpusing ke laluan kanan dan berlanggar dengan sebuah bas ekspres," katanya.

Lokasi kemalangan menyaksikan kejadian sama yang berlaku pada 4 Dis, di mana seorang pemandu bas maut dan 5 penumpang cedera parah apabila sebuah bas ekspres merempuh belakang sebuah treler.

Sumber NST 16 Dis 2012


Maut tercampak ke jalan


Keadaan lori yang dipandu mangsa selepas melanggar treler di KM 304.6 dekat Gopeng, semalam 

Bas yang membawa 16 penumpang remuk di bahagian kiri selepas tidak sempat mengelak dari melanggar lori muatan sangkar ayam.

GOPENG – Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 304.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Gua Tempurung di sini, awal pagi semalam.

Dalam nahas pada jam 6.20 pagi itu, mangsa, Ng Kok Ang, 45, dari Parit Buntar maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan.

Lokasi sama juga telah meragut nyawa seorang pemandu bas, 5 Disember lalu yang mengakibatkan 10 penumpang cedera, malah, dua kilometer dari lokasi sama juga pernah meragut nyawa seorang kelindan lori juga merempuh lori lain sebelum terbalik pada 24 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kejadian itu berlaku apabila lori yang membawa muatan sangkar ayam itu melanggar treler yang bergerak perlahan ketika mendaki bukit di lorong kiri.

Akibat kejadian itu katanya, sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang dari arah Kuala Lumpur gagal mengelak lalu merempuh lori yang terbalik dan melintang di tengah jalan.

“Kelindan lori, Roslee Siron, 48, yang berasal dari Bukit Mertajam cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

“Seramai 16 penumpang bas berkenaan bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat pemandu lori berkenaan dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Kong Soon berkata, kombinasi jalan berbukit, gelap dan hujan menjadikan laluan dari KM 293 hingga 310 Lebuh raya Utara Selatan merekodkan 22 kematian tahun ini.

“Dalam tempoh sama, 60 orang telah cedera parah. Pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan berat perlu memastikan mereka mempunyai rehat yang secukupnya sebelum meneruskan perjalanan.

“Kami (polis) akan mengadakan pertemuan dengan Plus Expressway Berhad (Plus) bagi membincangkan langkah terbaik untuk mengurangkan kemalangan di sepanjang laluan berkenaan,” katanya.

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Sinar Harian 17 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment