November 21, 2012

Terkejut laman tenggelam


MELAKA: “Kurang setengah jam ketika kami cuba menyelamatkan barangan, air naik secara perlahan memasuki rumah semalam (kelmarin),” kata Saripah Mat, 56, sebahagian daripada 186 mangsa banjir di Kilometer 16, Kampung Krubong, di sini, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Krubong, awal pagi semalam.

Menurutnya, dia yang pulang selepas membantu anaknya berniaga di Stadium Hang Jebat, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin terkejut apabila mendapati halaman rumahnya ditenggelami air kira-kira 0.3 meter.

“Hujan lebat sebelah pagi menyebabkan air sungai meningkat mendadak dan penduduk mula berjaga-jaga kerana khuatir dilanda banjir.

“Bagaimanapun, ketika mengemas barang untuk diselamatkan, penjaga kolam takungan banjir bersebelahan rumah memaklumkan benteng kolam itu pecah dan kami diminta berpindah,” katanya ketika ditemui, semalam.

myMetro 21 Nov 2012



Tak sangka boleh banjir

REMBAU: “Sebaik melihat air mencurah masuk ke dalam rumah saya memanggil suami dan anak segera keluar kerana air begitu deras dan sekelip mata sudah berada di paras pinggang. Lebih membimbangkan jika terjadi sesuatu terhadap kandungan saya yang kini sudah memasuki enam bulan,” kata Noraini Ibrahim, 31.

Menurutnya, rumahnya di Kampung Simen, Lubok Cina, dekat sini, dinaiki air kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Noraini berkata, dia tidak menyangka menjadi mangsa banjir memandangkan hujan lebat hanya waktu pagi, namun kira-kira jam 8 malam dapur mula dipenuhi air dan sekelip mata seluruh bahagian dalam rumah ditenggelami air.

“Kali terakhir saya menghadapi kejadian banjir, dua tahun lalu dan ketika itu sedang mengandungkan anak kedua iaitu Nor Amani Saleha Mohd Najib yang kini berusia setahun lapan bulan.

“Kini situasi sama berulang apabila mengandungkan anak ketiga, saya perlu meredah banjir bagi menyelamatkan diri dan kandungan,” katanya, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Balai raya Kampung Lubok China, pagi semalam.

Seorang lagi mangsa, Che Yah Sulong,76, berkata, dia yang tinggal seorang diri sejak kematian suami setahun lalu sudah lali dengan kejadian banjir di kawasan rumahnya sejak lebih 10 tahun lalu.

“Ketika berada di ruang tamu, saya sempat menjengah ke luar tingkap dan mendapati air sudah mula naik memenuhi jalan. Saya sudah mengagak rumah akan dinaiki air dan terus mengambil dokumen penting.

“Selang beberapa minit, anak jiran memanggil dan memapah keluar saya untuk berpindah ke pusat pemindahan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Banjir Daerah Rembau, Mohd Rawi Baharom, berkata buat masa ini hanya tujuh keluarga terjejas banjir dan dua pusat pemindahan dibuka iaitu Balairaya Kampung Lubok Cina dan Surau Kampung Nerambai.

myMetro 21 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment