November 29, 2012

Peragut tolak mangsa hingga terima 4 jahitan


KUALA LUMPUR: Dua peragut bertindak ganas mengejar seorang wanita dengan motosikal sebelum menolaknya hingga terjatuh dan cedera di kepala hanya kerana berang selepas mangsa membuang beg tangan berisi wang tunai sebanyak RM70 miliknya ke dalam kawasan kediaman jiran di Sri Petaling, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Hooi, 57, terpaksa berjalan beberapa meter dalam keadaan terhuyung-hayang dengan kepala berlumuran darah pulang ke rumahnya sebelum dia dihantar anaknya ke hospital dan terpaksa menerima empat jahitan.

Menceritakan semula kejadian itu, Hooi berkata, dia yang sering keluar pada waktu pagi untuk berjoging terkejut apabila melihat dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menyebabkan dia cuba melarikan diri.

Menurutnya, dia turut membuang beg tangan dibawanya ke dalam kawasan rumah jiran sebelum melarikan diri.

“Tindakan saya itu menyebabkan mereka marah lalu mengejar hingga ke kawasan lorong gelap di tepi kediaman jiran sebelum menolak saya hingga terjatuh dan kepala terhentak ke jalan bertar.

“Kejadian itu menyebabkan kepala saya berlumuran darah dan dalam keadaan kesakitan, saya cuba melihat beg tangan yang dibuang itu namun ia sudah tiada,” katanya.

Hooi berkata, dia berjalan pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada anaknya.

“Anak saya kemudian terus membawa saya ke klinik. Akibat kejadian itu saya terpaksa menerima empat jahitan di kepala. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku itu adalah kali kedua kerana dua tahun lalu, dia pernah diragut menyebabkan rantai lehernya dilarikan namun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az-Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan. dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta sedang membuat pengesanan suspek.

myMetro 29 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment