December 1, 2012

Letih hidup gelandangan, mohon diami rumah kebajikan

Bee Kang tinggal sendirian di pondok usang ini.

Bee Kang berhasrat mahu ditempatkan di rumah orang tua.

KULIM, Kedah - Seorang warga emas yang kini hidup gelandangan merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bantuan yang pernah diterimanya dulu pada 2004 dapat disambung.

Ang Bee Kang, 56, berkata, dia tidak lagi bekerja mengutip sampah untuk menyara hidup berikutan terlibat dalam kemalangan.

Dia yang tinggal di pondok usang di tengah Pekan Kulim berkata, sebelum ini dia pernah menerima wang sara hidup RM100 daripada JKM.

"Bagaimanapun, bantuan itu dihentikan apabila pegawai terlibat sentiasa memberi alasan bahawa peruntukan bantuan belum sampai setiap kali saya memintanya di pejabat jabatan itu.

“Enam bulan saya menuntut wang bantuan tapi alasan yang sama masih diberikan, dari situ saya sedar bantuan telah dihentikan," katanya.

Menurutnya, saya terpaksa tinggal di pondok usang kerana tidak mempunyai tempat tinggal. Sebelum ini dia tidur di kaki lima bagaimanapun terpaksa berpindah randah kerana sering diganggu anjing liar.

Bee Kang berkata, dia berhasrat untuk tinggal di rumah orang tua atau rumah kebajikan tetapi pada usianya kini dia tidak layak untuk ditempatkan di sana.

“Pegawai JKM kata nak masuk rumah orang tua umur saya kena 60 tahun. Sekarang umur saya 56. Jadi aku terpaksalah hidup bergelandangan lagi empat tahun. Kalau tuhan panjangkan umur, dapatlah saya tinggal di sana.

"Saya tak punya sesiapa, saya sudah tua dan tak larat nak cari makanan dalam tong sampah dan terus hidup begini,” katanya.

Sinar Harian 1 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment