November 20, 2012

Juruteknik dapat ganti rugi RM10k


JOHOR BAHRU – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat pengubahsuaian membayar ganti rugi sebanyak RM10,000 kepada pelanggannya berikutan kerja pengubahsuaian kediaman tidak mengikut spesifikasi.

Juruteknik, S Barathitasan, 33, membuat tuntutan selepas kecewa tindakan syarikat yang dilantik mengubahsuai seluruh kediamannya pada pada akhir tahun lalu dengan bayaran sebanyak RM60,000.

Menurutnya, selepas beberapa bulan kediamannya siap diubahsuai, terdapat keretakan pada bahagian dapur  dan dia meminta pihak syarikat terbabit membaikinya.

“Saya menghubungi mereka dan meminta baiki semula keretakan itu, namun mereka hanya menampalnya menyebabkan masalah sama berulang selepas sebulan ia dibaiki.

“Saya sekali lagi meminta mereka memperbaikinya, malangnya pihak syarikat itu tidak mengendahkannya sehingga memaksa saya membuat laporan polis pada Ogos lalu sekaligus memfailkan ke ke TTPM,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Barathitasan berkata, paling membuatkannya sakit hati, untuk kos pengubahsuaian dapur pihak kontraktor mengenakan caj sebanyak RM33,000, namun hasil kerja mereka amat  mengecewakan.

Ia dibaiki kerana bumbung kediamannya runtuh akibat angin kencang baru-baru ini. Bagaimanapun, dia, isteri dan tiga anak berumur 2 hingga 4 tahun tiada di rumah.

“Saya terpaksa melantik kontraktor lain untuk memperbaiki kerosakan pada bahagian dapur. Saya meminta mereka membuat sebut harga bagi tujuan ganti rugi kepada pihak penentang sebanyak RM15,800,” katanya.

Sementara itu, Presiden, TTPM, M Suppiah dalam penghakimannya mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM10,000 kepada pihak yang menuntut dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

Perintah itu dikeluarkan berdasarkan kontrak yang dipersetujui kedua belah pihak tidak menyatakan jangka masa jaminan selepas kerja pengubahsuaian itu selesai.

Sinar Harian 20 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment