December 1, 2012

Bakal pengantin dipenjara sehari


KUANTAN - Seorang bakal pengantin dipenjara sehari selain didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri tiga laras ‘­marker’ paintball milik pusat rekreasi sebuah resort dan spa di Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini.

Tertuduh, Mohd Fauzi Syarwani Seman, 29, dari dari Machang, Kelantan didakwa mencuri peralatan berharga kira-kira RM6,000 ketika bertugas sebagai pembantu pusat rekreasi itu antara Januari hingga 9 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan terhadap hukumannya, tertuduh yang kini bekerja sebagai penjaga kereta sewa memberitahu mahkamah dia akan berkahwin dalam masa terdekat dan tunangnya hadir untuk menjelaskan denda tersebut.

“Saya menyesal dan memohon maaf atas kesilapan ini serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya sebelum memohon mahkamah mengurangkan hukuman.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail dalam hujahnya memberitahu tertuduh tidak mempunyai rekod lampau bagaimanapun mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada lelaki itu.

“Kesalahan yang dilakukan sering berlaku dan ia melibatkan isu tanggungjawab di mana tertuduh sebagai seorang pekerja sepatutnya amanah terhadap kepercayaan yang diberikan majikan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mencuri peralatan tersebut sebelum dijual kepada pihak kedua seterusnya bertukar tangan kepada pihak ketiga.

Sinar Harian 1 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment