October 4, 2012

Suami derita jatuh garaj



KUALA TERENGGANU: “Suami begitu beria-ia menunaikan janji kepada anak untuk membawa kami sekeluarga bersiar-siar di pusat bandar pada malam sebelum kejadian itu,” kata Laila Mohamad, 26, isteri Mohd Noor Abd Majid, 36, yang lumpuh seluruh badan akibat terjatuh ketika memasang bumbung garaj di sebuah rumah di Kampung Chendering, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohd Noor bersama tiga rakannya yang mengambil upah membina garaj berkenaan naik ke atas palang setinggi tiga meter untuk memotong kayu bagi dijadikan kekuda bumbung berkenaan.

Bagaimanapun palang yang dipijaknya itu tiba-tiba patah menyebabkan dia terjatuh dengan kepalanya terlebih dulu jatuh di atas lantai simen garaj berkenaan.

Ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, Laila yang tinggal di Kampung Kebor Air, Manir, dekat sini, berkata, dia bergegas ke hospital selepas dimaklumkan kejadian menimpa suami oleh sepupunya.

Menurutnya, dia hanya menitiskan air mata apabila dimaklumkan doktor bahawa suaminya mungkin lumpuh seumur hidup kerana lehernya patah manakala saraf pada tulang belakang pula rosak.

“Saya sebak melihat keadaan suami yang terlantar di katil dengan kepalanya terpaksa ditarik dengan pemberat untuk menghalang pergerakan leher yang boleh menyebabkan kecederaannya bertambah serius.

“Walaupun berat hati, namun saya kuatkan semangat untuk memberitahu keadaan sebenar kepada suami yang masih dalam keadaan separuh sedar,” katanya yang juga pembantu di sebuah kedai roti di kampungnya.

Laila berkata, dia dimaklumkan doktor bahawa kos RM15,000 diperlukan untuk menyambung semula tulang leher Mohd Noor yang patah.

“Saya tiada wang sebanyak itu dan bercadang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos rawatan terbabit.

“Lebih menyedihkan, walaupun pembedahan menyambung semula tulang leher suami itu berjaya dilakukan, namun ia tidak mampu untuk membuatkan dia berjalan semula kerana bahagian sarafnya sudah rosak,” katanya.

myMetro 4 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment