October 14, 2012

Anak OKU terpasa jaga ibu strok

Wan Nor Salbiha bersama anaknya menjaga Che Moh yang terlantar diserang strok ketika ditemui semalam.

KOTA BHARU- Keadaan dirinya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang mengalami spastik sejak kecil langsung tidak menghalangnya menjaga ibu yang mengalami penyakit strok.

Lebih menyedihkan, Wan Nor Salbiha Wan Abdullah, 34 juga adalah ibu tunggal yang mempunyai seorang anak, tetap setia menjaga makan minum ibunya, Che Moh Che Cob, 68.

Abangnya, Wan Zahari, 37 berkata, keadaan ibunya yang terlantar menyebabkan sudah dua tahun dia mengambil keputusan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung untuk menjaga ibunya.

“Keluarga ini bernasib baik kerana mempunyai Wan Nor Salbiha yang sanggup menjaga ibu sepanjang masa kerana ada dalam kalangan kami adik beradik yang tinggal jauh.

“Jika ada pihak sudi membantu, kami mahu ada bantuan meringankan kos rawatan ibu yang terpaksa ditanggung kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dan kos ini banyak dibantu pihak hospital, malah kami juga berhasrat membaik pulih keadaan rumah, “katanya kepada Sinar Harian, di Kampung Panjang, Binjai Jalan Bachok, di sini, semalam.

Keluarga berkenaan ditemui semasa Program Khidmat Masyarakat ‘Kembara Masjid’ di bawah aktiviti Ziarah Mahabbah 10 pesakit dan orang miskin di kawasan sekitar Binjai anjuran Pusat Islam Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Dr Wan Nudri Wan Daud dan Imam Masjid Mukim Binjai, Mohd Zaidi Ismail.

Wan Zahari berkata, ibunya mengalami strok sejak lebih setahun lalu dengan pada permulaannya menghidap penyakit darah tinggi, disusuli kencing manis dan buah pinggang, namun ia semakin kritikal pada Sabtu minggu lalu apabila dimasukkan ke wad HUSM.

“Memandangkan kami keluarga daif, tinggal sembilan ahli keluarga dalam satu rumah usang berusia 30 tahun, kami memang mengharapkan ada pihak sudi membantu.

“Saya hanya mengambil upah bekerja sebagai tukang cat bangunan setelah balik dari Kuala Lumpur dan mengakui memang tidak mampu menanggung semua kos perbelanjaan harian,” katanya.

Bapanya, Wan Abdullah Wan Jusoh, 73 yang dahulunya seorang penarik beca juga sudah tidak bekerja akibat sering mengalami keuzuran dan sakit tua.

Dia berkata, hanya Wan Nor Salbiha sahaja yang menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala dua lagi anak yatim (cucu kepada Che Moh), belum membuat apa-apa permohonan bantuan.

Sinar Harian mendapati, rumah yang didiami sembilan ahli keluarga tersebut sudah usang, lantainya hampir runtuh bila-bila masa, tiada bilik dan dinding kayu dimakan anai-anai.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut boleh mengunjungi mereka di Kampung Panjang, Banggol, Binjai Jalan Bachok atau menghubungi Wan Zahari di talian  019-3695059 .

Sinar Harian 14 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment