September 23, 2012

Warga emas, anak terima ijazah di USM


Mohd Idzwan Razali, 34, mencium pipi ibunya, Derisah Maarof, 66, selepas menerima ijazah masing-masing di Universiti Sains Malaysia yang ke 46 di Gelugor semalam. Gambar New Straits Times

NOR AZIZAN membetulkan tali leher suaminya selepas mereka menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen USM kali ke-46 di George Town semalam. Gambar Kosmo


GEORGE TOWN: Seorang warga emas dan anaknya mencatat sejarah tersendiri apabila menerima ijazah masing-masing pada Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-46 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini semalam.

Derisah Maarof, 66, pesara kerajaan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan manakala anak keduanya, Mohd Idzwan Razali, 34, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pengkhususan Sains Politik.

Derisah berkata, walaupun pada usia yang sudah hampir dengan angka 70, beliau tekad meneruskan cita-cita terpendam untuk menjejakkan kaki ke menara gading yang terhalang kerana kesibukan bekerja dan mengurus keluarga.

“Mula-mula saya agak gerun, takut dan gelisah, apatah lagi melihat kepada buku-buku yang tebal dan hendak memulakan sesuatu yang baharu dalam hidup.

“Namun berkat doa dan dorongan kuat anak-anak yang telah terlebih dahulu mencapai kejayaan, saya nekad dan akhirnya berjaya sehingga ke tahap ini,” katanya kepada pemberita selepas upcara konvokesyen di sini semalam.

Derisah yang kematian suami dua tahun lepas, berkata antara rahsia kejayaannya hari ini ialah tidak pernah malu untuk bertanya dan keluar rumah mencari rujukan tambahan.

“Saya selalu ke perpustakaan atau menghabiskan masa mengulang kaji dengan pelajar yang lebih senior, walaupun yang senior itu jauh lebih muda dari saya, dengan niat untuk menimba ilmu dan berjaya,” kata ibu empat anak dan tiga cucu itu.

Anaknya Mohd Idzwan yang merupakan ahli perniagaan berkata pengorbanannya untuk melanjutkan tempoh pengajian daripada empat ke enam tahun amat berbaloi apabila dapat bergraduasi pada tahun yang sama dengan ibunya.

“Saya sengaja memanjangkan tempoh pengajian kerana ingin bersama ibu dan menghantarnya sepanjang pengajian kami di sini iaitu dari Ampang, Selangor ke Pulau Pinang kerana kami mengambil pengajian jarak jauh. Kami saling berinteraksi bagi menaikkan semangat masing-masing untuk menamatkan pengajian bersama,” katanya.

Sementara itu, kesibukan tugas sebagai pendidik tidak menghalang pasangan suami isteri berusia 58 tahun mencapai impian bersama menggenggam segulung ijazah pada upacara konvokesyen USM semalam.

Pasangan berkenaan, Musa Jaafar dan Nor Azizan Sulaiman yang tinggal di Muar, Johor menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera, pengkhususan dalam mata pelajaran Sejarah.

Musa yang bertugas sebagai guru penolong kanan, berkata kejayaan anak-anak dan saudara-mara menjadi dorongan kuat untuk beliau dan isteri yang merupakan guru besar di sekolah berasingan di Muar, merasai kenikmatan dan kepuasan bergelar graduan.

Beliau berkata jarak perjalanan berulang alik dari Muar ke Pulau Pinang juga tidak menjadi alasan untuk mereka tewas di pertengahan jalan, sebaliknya menguatkan semangat untuk menghabiskan pembelajaran tepat pada masanya.

“Perjalanan jauh juga memberi peluang untuk kami bertukar pandangan dalam pembelajaran, yang mana ketika saya memandu, isteri akan membaca buku dan menerangkan kembali perkara yang dibaca.

“Ia sangat membantu dalam aktiviti pembelajaran kami, selain daripada mengulangkaji melalui Internet, modul dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu lebih 20 orang anggota keluarganya termasuk lima anak hadir meraikan kejayaan beliau dan isteri semalam. — Bernama

24 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment